50 maut dalam nahas bas di Zimbabwe

50 maut dalam nahas bas di Zimbabwe

Seramai 80 lagi mangsa cedera dalam pertembungan 2 bas di Lebuhraya Harare-Mutare, Rabu lalu.

Salah sebuah bas yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Harare-Mutare, Rabu lalu. (Gambar AFP)
HARARE:
Angka kematian dalam nahas dahsyat membabitkan 2 bas pada Rabu di Lebuhraya Harare-Mutare, Zimbabwe meningkat kepada 50 orang, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut polis, 40 maut di tempat kejadian, 5 maut ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala 2 lagi pada pagi Khamis.

Tiga lagi mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada lewat petang semalam, menjadikan jumlah kematian 50 orang, lapor badan penyiar rasmi Zimbabwe, ZBC, hari ini.

Nahas itu yang dikategorikan sebagai bencana negara, turut menyebabkan 80 cedera, selepas 2 bas perjalanan jarak jauh bertembung di lebuh raya tersebut.

Sementara itu, polis melancarkan pemburuan ke atas pemandu dan konduktor sebuah bas terbabit yang melarikan diri dari tempat kejadian.

Presiden, Emmerson Mnangagwa mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.