
Bekas anggota tentera yang pernah menyertai “senaman punggung” pada 2012 di luar rumah Pengerusi Bersih ketika itu, Datuk S Ambiga berkata, beliau hilang kepercayaan terhadap Umno susulan dakwaan skandal rasuah mengaitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa pimpinan parti itu.
“Kita sebagai ahli hilang keyakinan terhadap ketua kita, saya ibarat penyokong, kalau ada perlawanan bola sepak akan sokong pasukan tertentu, tetapi apabila pihak pengurusan jual perlawanan, maka kita tidak sokong lagi.
“Saya masuk PPBM atas kehendak sendiri. Saya di Umno dahulu bukan di pihak pengurusan parti, jadi kita hanya ikut apa yang dikatakan pimpinan atasan, tapi tindakan pimpinan atasan buat saya hilang kepercayaan,” katanya kepada FMT hari ini.
“Senaman punggung” pada 2012 itu bertujuan memberi amaran kepada Ambiga yang menganjurkan perhimpunan Bersih untuk menuntut pembaharuan pilihan raya.
Hari ini, Ali yang juga ahli PPBM Bahagian Bandar Tun Razak berjanji tidak akan mencetuskan huru-hara atau provokasi dalam parti itu.
“Macam saya kata tadi, apabila berhijrah kena relaks dahulu kerana banyak benda berubah. Apa yang kepimpinan PPBM buat, kita kena ikut, tidak boleh tidak ikut.
“Walaupun saya selalu lakukan provokasi, saya tidak pernah sanggup menipu orang atau ambil duit orang. Saya masuk PPBM tidak ada niat nak buat kacau-bilau di PPBM.
“Saya hanya pengikut, bukannya hendak sebarang jawatan parti, bahkan tidak ada bayaran langsung. Saya ingat pesanan Tun Dr Mahathir Mohamad, nak masuk PPBM kena berubah.”
Beliau juga kagum melihat Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mengetepikan permusuhan politik mereka demi menjaga kepentingan negara.
“Sebenarnya, keputusan keluar Umno sudah (dibuat) beberapa bulan, memandangkan saya lihat apa yang berlaku. Seperti yang Dr Mahathir katakan, kalau ahli Umno hendak masuk PPBM kena berubah, jadi saya rasa kena berubah.
“Anwar gaduh dengan Dr Mahathir dulu, kemudian Dr Mahathir juga gaduh dengan Lim Kit Siang, tetapi semua itu dapat diketepikan, bahkan dapat bersatu.”
Mengenai usaha memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam dalam PPBM, Ali percaya kedudukan orang Melayu dan agama Islam tidak akan tergugat, jika semua pihak menghormati hak masing-masing.
“Bagi saya, kena fahami dan hormati antara satu sama lain. Biasalah, bumiputera lebih daripada 68% di dalam negara ini, jadi untuk sama ratakan hak itu tidak sesuai kerana banyak bumiputera hanya makan gaji.
“Bangsa lain pula lebih menumpukan kepada perniagaan. Bila tidak diganggu dengan sentimen perkauman, agama masing-masing, maka tidak akan ada lagi protes yang akan berlaku.”