Tolak jelajah Zakir Naik jika cetus kontroversi, kata pakar deradikalisasi

Tolak jelajah Zakir Naik jika cetus kontroversi, kata pakar deradikalisasi

Figur kontroversi seharusnya tidak diketengahkan kerana ia boleh mendatangkan persepsi buruk dan mengancam kestabilan masyarakat

Penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Siri jelajah penceramah terkenal dari India, Dr Zakir Naik dan isteri beliau ke Perlis bulan depan perlu bebas daripada unsur kontroversi sehingga boleh menjejaskan keharmonian kaum, kata pakar anti keganasan.

Pakar deradikalisasi di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, jika jelajah itu diserapi unsur yang boleh mengugat keharmonian maka ia perlu ditolak.

Mohd Mizan Mohammad Aslam.

“Saya telah melihat tajuk-tajuk yang dirancang disampaikan oleh Dr Zakir dan isteri beliau dalam jelajah itu, nampaknya ia tidak kontroversi dan agak generik.

“Bagi saya selagi ia tidak mencetuskan isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian kaum, maka tiada masalah. Akan tetapi figur yang kontroversi seharusnya tidak diketengahkan kerana ia boleh mendatangkan persepsi buruk dan mengancam kestabilan masyarakat,” katanya kepada FMT.

Mizan, yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, pendekatan dakwah Zakir tidak begitu sesuai dengan latar belakang masyarakat dan persekitaran di Malaysia.

“Saya percaya, budaya, pemikiran dan cara dari luar tidak perlu dibawa masuk ke dalam negara ini. Hanya kita yang benar-benar faham cara dan pemikiran masyarakat kita, orang luar tidak akan dapat memberi pandangan yang sesuai dengan sensiviti umum masyarakat kita.

“Lebih baik jika pemikiran luar itu disesuaikan terlebih dahulu dengan konteks negara kita dan dikembangkan oleh orang kita sendiri,” katanya.

Mizan turut melahirkan rasa bimbang mengenai keterbukaan masyarakat Malaysia yang mudah menerima pandangan daripada pihak luar, apatah lagi mereka yang mempunyai agenda tersembunyi kerana ia boleh mendedahkan negara kepada risiko jika ia tidak dilakukan secara berhati-hati.

“Kita juga harus meneliti agenda tersembunyi yang mungkin dibawa oleh pihak luar. Kita boleh menerima kesan buruk jika tidak berhati-hati dengan ‘wider connection’ dan agenda tersembunyi sesetengah pihak,” katanya.

Zakir Naik dan isteri beliau, Farhat dijadual memulakan siri jelajah 5 hari ke Perlis dengan sokongan sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan jabatan agama Islam negeri, selain beberapa agensi dan kumpulan Islam di negeri itu.

Zakir mempunyai hubungan baik dengan pemimpin kerajaan sebelum ini dan diberikan status pemastautin tetap.

Beliau dan Farhat, yang kini tinggal di Malaysia sewaktu pihak berkuasa India menyiasat dakwaan penglibatannya dalam kegiatan pengubahan wang dan mempromosi keganasan, akan berucap di masjid, pusat Islam dan universiti di negeri itu.

Zakir, yang didakwa mempromosi Salafisme – aliran Islam kontroversi yang dimajukan di Arab Saudi – tetapi dianggap mengancam keharmonian kaum di Malaysia.

Penceramah itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Islam berfahaman sederhana di Malaysia, selain kumpulan orang bukan Islam berikutan ceramah beliau mengenai perbandingan agama.

Awal tahun ini, saman yang difailkan persatuan penganut agama Hindu, Hindraf, terhadap kerajaan sebelum ini kerana melindungi Zakir diketepikan oleh Mahkamah Tinggi.

Siri jelajah Zakir yang dijadualkan bermula dari 1 hingga 5 Dis depan, akan berkisar isu perpaduan orang Islam, kemanusiaan dan sains.

Jelajah itu dianjurkan oleh One Centre Malaysia, sebuah pertubuhan berpangkalan di Perlis diketuai aktivis Islam, Zamri Vinoth, yang merupakan penyokong kuat mufti negeri berkenaan, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Antara badan lain yang turut terlibat adalah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.