Saya tiada masalah kerjasama dengan Rafizi, kata Azmin

Saya tiada masalah kerjasama dengan Rafizi, kata Azmin

Penyandang jawatan timbalan presiden PKR itu yakin Rafizi Ramli akan diberikan peranan dalam parti, jika beliau kalah dalam pemilihan baru-baru ini.

Azmin Ali berkata, beliau boleh bekerjasama dengan Rafizi Ramli untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
SHAH ALAM:
Datuk Seri Azmin Ali yakin Rafizi Ramli akan diberikan peranan dalam parti, jika kalah dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR dan menolak dakwaan beliau mempunyai masalah bekerjasama dengan pencabarnya.

“Saya percaya sahabat saya, Rafizi Ramli akan mempunyai peranan dalam parti.

“Dia telah mainkan peranan bertahun-tahun, saya rasa saya boleh bekerjasama dengan Rafizi untuk mengukuhkan parti untuk persediaan pilihan raya akan datang,” katanya selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita dan Pemuda PKR malam ini.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Azmin mendahului saingan jawatan nombor 2 dalam PKR itu dengan majoriti 3,956 undi, selepas pemilihan parti itu berakhir Ahad lalu.

Azmin dikatakan mendapat 70,550 undi, sementara Rafizi memperoleh 66,594 undi.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR akan mengumumkan keputusan rasmi Ahad ini.

Tidak umum kemenangan di Twitter

Azmin menafikan beliau mengumumkan kemenangannya menerusi Twitter, sebaliknya mendakwa itu adalah kesilapan laporan media.

“Itu kerana kesilapan pihak media memberi laporan tidak tepat. Saya tidak pernah ‘claim victory’ sehingga pihak JPP mengumumkan secara rasmi,” katanya yang memaafkan kesilapan media.

“Kalau lihat ‘tweet’ saya, saya sekadar nyatakan Alhamdulilah dan syukur terima kasih kepada semua anggota parti yang berjaya teruskan agenda reformasi tulen.

“Kita serahkan pada JPP untuk laksanakan tugas mereka dan selesai proses ini, pastinya JPP akan buat pengumuman rasmi tentang kepimpinan dalam Pemuda, Wanita dan parti.”

Ahad lalu, satu mesej seperti poster tersebar dalam WhatsApp, di mana Azmin mengucapkan terima kasih kepada pemimpin dan ahli PKR, manakala bahagian bawahnya tertera namanya dan timbalan presiden PKR (2018 – 2021).

Sokong Anwar

Azmin yakin PKR akan bertambah kuat di bawah kepimpinan Presiden baru, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekiranya perpaduan dalam parti diberi tumpuan kukuh, rancangan luar tidak boleh membolosi perpaduan dalam parti.

“Kita telah lalui banyak ujian, saya yakin kematangan kepimpinan dalam PKR telah berjuang lebih 20 tahun.”

E-undi ada kelemahan

Azmin turut mengakui kelemahan dalam sistem e-undi yang diperkenalkan dalam pemilihan parti tahun ini.

“Kita sedia terima pandangan daripada ahli untuk tambah baik sistem ini di masa akan datang.”

Menteri hal ehwal ekonomi itu menerima keputusan JPP untuk tidak mengadakan pemilihan semula di PKR Bahagian Julau, susulan “serangan siber” ke atas sistem e-undi, Sabtu lalu.

“Kita telah beri mandat JPP untuk adakan pemilihan yang adil.

“Jadi, saya rasa kita perlu bagi sokongan penuh pada JPP. Jangan ada pemimpin PKR yang masuk campur proses pemilihan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.