PH tidak masuk campur dakwaan politik wang dalam PKR, kata Guan Eng

PH tidak masuk campur dakwaan politik wang dalam PKR, kata Guan Eng

PKR akan mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang terlibat dalam budaya itu.

Lim Guan Eng berkata, tidak ada keperluan dakwaan amalan politik wang dalam pemilihan PKR dibincangkan oleh Majlis Presiden PH.
SHAH ALAM:
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak akan mencampuri urusan dalaman PKR behubung dakwaan wujudnya politik wang dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Beliau yakin PKR akan mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang terlibat dalam budaya itu.

Beliau juga menganggap tidak ada keperluan perkara itu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.

“Politik wang adalah salah. Semua tak setuju, jadi ini suatu yang tidak betul, tapi itu perkara dalaman PKR biar PKR uruskan dan saya yakin PKR akan ambil tindakan yang sewajarnya. Saya tidak mahu campur dalam urusan keluarga dalaman PKR,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian Kongres Nasional Keadilan Ke-13 2018 di Ideal Convention Center Sdn Bhd (IDCC), di sini, hari ini.

Pada 15 Oktober lalu, calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli dilaporkan mendakwa budaya politik wang berleluasa di 6 negeri yang sudah menjalani proses pengundian parti itu.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu merujuk pihak bertanggungjawab mengamalkan politik wang sebagai “sebelah sana” dan mendakwa budaya itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din juga dilaporkan belum menerima aduan berhubung dakwaan Rafizi mengenai amalan politik wang dalam pemilihan parti.

Pada 28 Oktober lalu, Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, pihaknya tidak pernah menerima aduan berhubung amalan politik wang daripada calon pemilihan parti.

Katanya, calon tidak menggunakan saluran dalaman untuk membuat aduan berhubung pemilihan parti, sebaliknya hanya mengadu kepada media.

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, dakwaan yang tersebar semasa pemilihan PKR tidak menjejaskan PH kerana sehingga kini belum dibuktikan wujudnya politik wang dalam pemilihan itu.

“Tidak. tuduhan semasa pemilihan (PKR) setakat ada tuduhan, tetapi itu belum ada lagi dibuktikan.

“Saya pun dengar. Ia sebaran ‘khabar angin’, saya tidak ambil beratlah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, bakal presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKR menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan politik wang dalam parti itu.

Beliau berkata, semua ahli dan pimpinan perlu bersetuju untuk terus memandang ke hadapan di samping menyerahkan siastan kepada pihak berkuasa.

“Pihak SPRM akan melihat lebih mendalam terhadap proses e-undi dalam pemilihan PKR.

“SPRM sudah tentu akan siasat jika ada rasuah berdasarkan laporan polis. Mereka sudah tentu akan melakukan kerja dengan profesional,” katanya ketika ditemui pada sidang media sempena Kongres Nasional PKR ke-13, hari ini.

Pada 13 Nov lalu, SPRM Sarawak menubuhkan pasukan siasatan berhubung kontroversi proses pemilihan PKR bahagian Julau di negeri itu.

Pengarahnya, Razim Mohd Noor berkata, ia susulan beberapa laporan salah laku, termasuk penipuan dan pembelian undi yang diterima pihaknya ketika proses pengundian berlangsung di bahagian berkenaan pada 10 Nov.

Sementara itu, Anwar berkata, sistem pengundian secara elektronik atau e-undi yang pertama kali diperkenalkan dalam pemilihan kali ini akan diteruskan, namun ia perlu dikaji semula secara keseluruhan untuk penambahbaikan.

Semalam, Rafizi mengaku kalah dalam pertandingan sengit jawatan timbalan presiden sebelum keputusan rasmi diumumkan hujung minggu ini.

Beliau berbuat demikian bagi mengelakkan kesan buruk lebih besar terhadap parti sekiranya pesaingnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tewas jika pemilihan semula diadakan.

Rafizi dalam kenyataannya percaya kekalahan seorang menteri di tangannya yang tidak bekerja akan menjadi alasan untuk Azmin berundur.

Beliau dilaporkan berkata keputusan pemilihan menunjukkan Azmin memperoleh 51% daripada keseluruhan undi, jelas melambangkan 2 aliran berbeza “yang sama kuat dan sama penting” dalam PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.