Anwar ambil alih presiden, Azmin diisytihar timbalan

Anwar ambil alih presiden, Azmin diisytihar timbalan

Kerusi naib presiden diisi oleh Tian Chua, Dr Xavier Jayakumar, Nurul Izzah Anwar dan Zuraida Kamaruddin.

SHAH ALAM:
Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi mengambil alih jawatan presiden daripada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menerajui parti itu daripada April 1999.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diisytiharkan sebagai timbalan presiden parti selepas berjaya mempertahankan kerusi itu daripada Rafizi Ramli dalam pertandingan yang sengit. Azmin menduduki kerusi itu sejak November 2010.

Sementara itu, 4 kerusi naib presiden diisi oleh Tian Chua, Dr Xavier Jayakumar dan Zuraida Kamaruddin, dan Nurul Izzah Anwar, pemenang tunggal daripada pasukan Rafizi.

Nama-nama pemenang bagi penggal 2018-2021 itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Datuk Rashid Din di penutup kongres nasional PKR petang tadi.

PKR pada Jumaat mengumummkan Akmal Nasir menggalas jawatan ketua Pemuda dan Muhammad Hilman Idham sebagai timbalan, sementara Haniza Talha diumumkan ketua Wanita dan Dr Daroyah Alwi sebagai timbalan.

Pemilihan PKR yang berlangsung dari 14 September hingga 10 Oktober menyaksikan kira-kira 800,000 ahli mengambil bahagian dalam pemilihan di 218 bahagian seluruh negara. Pemilihan kali ini merupakan yang pertama sejak ia membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan pada 9 Mei lepas.

Pemilihan kali ini menyaksikan persaingan sengit antara pasukan Rafizi dan Azmin, menyebabkan parti itu dilihat terpecah dua sepanjang pemilihan. Pertama kali diadakan secara elektronik, ia dicemari aduan politik wang, penggodaman dan kehadiran ahli ragu di beberapa bahagian.

Berikut adalah nama pemenang bagi 20 kerusi majlis pimpinan pusat.

  1. Amirudin Shari (menteri besar Selangor)
  2. Datuk Mohd Rashid Hasnon
  3. R Sivarasa
  4. Rahimah Majid
  5. Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid
  6. Elizabeth Wong
  7. Datuk Saifuddin Abdullah (menteri luar negeri)
  8. Datuk Zakaria Abdul Hamid
  9. Mohd Radzlan Jalaludin
  10. Datuk Dr Mansor Othman
  11. Datuk Kamarudin Jaafar (timbalan menteri pengangkutan)
  12. Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien
  13. Nik Nazmi Nik Ahmad
  14. Azmizam Zaman Huri
  15. Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah
  16. Gan Pei Nei
  17. Zaliha Mustafa
  18. R Santhara Kumar
  19. Hee Loy Sian
  20. Abdul Halim Hussain

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.