
Penyandang Timbalan Presiden PKR itu berkata, orang Melayu dan Bumiputera tidak perlu bimbang kerana parti itu telah melaksanakan berapa prinsip utama bagi memastikan kesaksamaan dan keadilan ekonomi untuk semua kaum.
“Dalam PKR, kita lebih awal telah ambil tindakan supaya semua kaum mendapat kesaksamaan dan keadilan dalam pengagihan ekonomi di negara ini.
“Dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh (bakal presiden) Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan berdasarkan kaum, tetapi berdasarkan keperluan semua rakyat tanpa mengira kaum, adat dan budaya,” katanya dalam ucapan pergulungan Kongres Nasional PKR ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini.
Beliau berkata, PKR harus berbangga kerana mengamalkan budaya tersebut dan tidak perlu tunduk kepada kuasa luar yang cuba mengajar ahli parti bagaimana ia harus dilakukan.
Sebelum ini, PAS dan Umno menentang ratifikasi ICERD berikutan kebimbangan bahawa Perkara 153 perlembagaan persekutuan akan terhapus.
Pemuda PPBM juga dilaporkan akan menolak langkah meratifikasi ICERD sekiranya ia melemahkan atau menghakis peruntukan Perkara 153 perlembagaan, sistem Raja berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan mana-mana hak orang Melayu serta Bumiputera yang termaktub dalam perlembagaan.
Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan hanya akan meratifikasi ICERD selepas mengambil kira kepentingan semua kaum.
Beliau mengakui ia bukan kerja mudah kerana setiap kaum melihatnya sebagai sensitif.