
Beliau yang memegang portfolio perpaduan negara dan integrasi nasional berkata tiada rahsia mengenai apa yang dia katakan dalam klip video itu, sambil menambah dia sentiasa terbuka tentang aktiviti melobi di luar negara.
Waytha juga mendakwa polis menyedari semua aktiviti melobi itu, malah kerajaan terdahulu memberinya kedudukan dalam Kabinet meskipun tahu akan pendiriannya.
“Mana ‘pengganas’ di dunia akan melakukan apa yang saya lakukan?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengasas Barisan Hak Asasi Hindu (Hindraf) mengakui selama 5 tahun dalam buangan di United Kingdom, beliau memberi keterangan lisan dan bertulis mengenai nasib orang India kepada badan-badan antarabangsa daripada PBB, Dewan Negara dan Dewan Rakyat United Kingdom serta Amnesty International dan Human Rights Watch.
“Kerajaan Umno dan seluruh masyarakat Malaysia menyedari sepenuhnya apa yang saya lakukan semasa saya dalam buangan di UK, namun mereka menjadikan saya seorang timbalan menteri pada 2013 kerana mereka tahu mereka telah melakukan kesilapan kerana tidak menangani isu-isu yang memberi kesan kepada masyarakat India,” kata Waytha.
Selepas kemenangan pilihan raya BN pada Mei 2013, Waytha dilantik sebagai timbalan menteri oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Dia meletak jawatan kurang dari 1 tahun kemudian dengan menuduh kerajaan mungkir janji dan kembali berikrar untuk membantu kaum India seperti yang dijanjikan dalam memorandum antara Hindraf dan BN.
Waytha hari ini berkata dia sudah menjelaskan aktivitinya dan masalah yang melanda masyarakat India kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan memobilisasi sokongan untuk menewaskan kerajaan Barisan Nasional.
Beliau dalam kenyataannya berkata lebih 800,000 orang India diusir daripada rumah-rumah mereka di estet tanpa tanah alternatif untuk penempatan semula, dan dinafikan peluang latihan pekerjaan, menyebabkan mereka membina rumah-rumah haram dan kuil di pinggir bandar serta memaksa mereka terjebak dalam jenayah.
“Orang India jadi berputus asa dan semua mengenai orang India dikatakan ‘haram’,” katanya.
Beliau berkata dasar-dasar kerajaan Umno menghalang majoriti orang daripada masyarakat India disertakan dalam pembangunan arus perdana.
Beliau mendakwa perobohan kira-kira 10,000 kuil Hindu dilakukan secara melampau oleh “orang-orang yang saya percaya dilatih oleh Biro Tata Negara.”
“Kes menukar agama secara paksa dikumpul daripada ratusan orang yang datang kepada saya meminta bantuan, dan keterangan mereka ada pada polis yang menyerbu pejabat saya dan merampas dokumen itu pada November 2007,” katanya.
“Belia India direkrut sebagai perompak dan penghantar dadah oleh anasir penyangak dalam polis yang bekerjasama dengan dunia penjenayahan,” katanya.