
Persatuan Golf OKU Malaysia berkata, ia mengesyaki berlaku penyelewengan dalam Kementerian Belia dan Sukan, sambil menambah proses itu membawa kepada pembatalan pendaftaran persatuan terbabit oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang disifatkan tidak masuk akal.
Presidennya, Ganesan Subramaniam, berkata persatuan itu diluluskan pada 2012 dan sejak itu mengendalikan seminar, klinik dan program lain untuk mengajar kanak-kanak OKU bermain golf.
“Pada 20 Ogos, kami menerima surat daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan mengatakan persatuan kami dibatalkan kerana kami tidak menjawab 3 surat dari pejabat berkenaan dan gagal mengemukakan laporan tahunan persatuan.
“Jadi kami buat. Kami juga menulis surat rayuan, menghantar semua dokumen yang dikatakan kami gagal menghantarnya,” katanya.
Beliau berkata semakan menunjukkan tiada surat yang dikatakan dihantar ke persatuan itu mempunyai resit penghantaran daripada Pos Laju.
“Ini bermakna mereka tidak pernah hantar kerana kami tidak pernah menerima resit tersebut,” katanya kepada FMT.
Ganesan berkata beliau percaya ia bukan masalah komunikasi, tetapi persatuan itu ditadbir oleh orang yang tidak bertanggungjawab daripada pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.
Persatuan itu mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Butiran lanjut memorandum, antara lain, kronologi kes dan bukti kemungkinan cubaan memalsukan serta laporan polis yang diserahkan berhubung perkara itu.
Ganesan berkata beliau berharap Dr Mahathir akan mengambil perhatian terhadap kes itu dan menasihati Syed Saddiq menyiasat perkara tersebut dan menerangkan kepada kumpulan itu mengenai apa yang berlaku, atau menarik semula pembatalan pendaftaran persatuan tersebut.
Memorandum itu diterima oleh Mohd Ridzal Md Yusof, pegawai kewangan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.