Pertubuhan antarabangsa iktiraf usaha bebas asap rokok di Pulau Pinang

Pertubuhan antarabangsa iktiraf usaha bebas asap rokok di Pulau Pinang

Exco Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata Pertubuhan Kawalan Tembakau Asia Tenggara (SEATCA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi pengiktirafan sama kepada Melaka.

Dr Afif Bahardin berkata, anugerah itu akan terus memacu Pulau Pinang menjadi negeri bebas asap rokok pertama di Malaysia dalam tempoh 5 tahun akan datang. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Usaha kerajaan Pulau Pinang menjadikan negeri itu bebas asap rokok menerusi Kempen Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (Penbar) mendapat pengiktirafan pertubuhan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Afif Bahardin berkata Pulau Pinang mendapat pengiktirafan menerusi anugerah oleh Pertubuhan Kawalan Tembakau Asia Tenggara (SEATCA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

“Saya menerima anugerah tersebut semasa menghadiri Mesyuarat Serantau Bebas Asap ke-6 Wilayah Asia Pasifik di Hoi An, Vietnam hari ini dan turut mendapat pengiktirafan tersebut ialah Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bermula 2012, Penbar dimulakan untuk memenuhi Perkara 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) WHO.

Beliau berkata, program itu merupakan perkongsian pintar antara kerajaan Pulau Pinang, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Kementerian Kesihatan, Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySIHAT), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pelbagai pertubuhan kerajaan (NGO), antaranya Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (Makna) serta Green Lung.

“Ia dimulakan untuk melindungi komuniti Pulau Pinang daripada asap rokok (second-hand smoke) dengan melaksanakan dasar bebas asap rokok yang berkesan.”

Katanya, untuk permulaan, 6 taman rekreasi diwartakan taman bebas asap rokok sejak 1 Oktober 2012 diikuti larangan merokok di semua bangunan dan kawasan awam di Tapak Warisan Dunia George Town pada 4 Julai lalu.

Beliau berkata, anugerah itu akan terus memacu Pulau Pinang untuk menjadi negeri bebas asap rokok pertama di Malaysia dalam tempoh 5 tahun akan datang.

“Kejayaan ini juga mengharumkan nama negara dan merupakan satu usaha jelas negara dalam mempromosikan semula jadi yang sihat dan mengekalkan keunikan budaya melalu kempen bebas asap rokok di Tapak Warisan Dunia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.