ICERD: Polis beri amaran jangan lampaui batas, sentuh sensitiviti kaum

ICERD: Polis beri amaran jangan lampaui batas, sentuh sensitiviti kaum

Ketua polis negara menasihatkan semua pihak menggunakan saluran betul untuk menyuarakan pendapat dan mematuhi undang-undang, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 jika mahu mengadakan perhimpunan.

Fuzi Harun memberi jaminan polis akan menjaga ketenteraman awam dan memastikan tiada pelanggaran undang-undang oleh pihak yang cuba mengetengahkan kepentingan agenda masing-masing.
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberi amaran kepada rakyat supaya tidak melampaui batas sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, susulan cadangan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau menasihatkan semua pihak menggunakan saluran betul untuk menyuarakan pendapat dan mematuhi undang-undang, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012 jika mahu mengadakan perhimpunan.

“Cadangan kerajaan untuk ratifikasi ICERD mengundang reaksi yang pelbagai dalam kalangan masyarakat. Masyarakat dinasihatkan tidak membuat sebarang kenyataan atau bertindak dalam apa jua cara yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kita harus yakin dengan komitmen kerajaan untuk mengambil kira pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan berhubung ratifikasi ICERD tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fuzi memberi jaminan polis akan menjaga ketenteraman awam dan memastikan tiada pelanggaran undang-undang atas isu itu oleh pihak yang cuba mengetengahkan kepentingan agenda masing-masing.

PAS dan Umno memutuskan untuk mengadakan perhimpunan bersama bagi membantah ICERD di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini.

Sabtu lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, himpunan itu bertujuan menyuarakan bantahan orang Melayu dan Islam terhadap tindakan kerajaan menimbang untuk menerima ICERD.

Katanya, penganjur mengadakan himpunan itu untuk memperbetulkan keadaan, bukannya menimbulkan huru-hara.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan pihak berkuasa tidak akan menghalang Umno dan PAS mengadakan himpunan itu dan polis akan dikerahkan untuk memastikan ia berlangsung secara aman tanpa perkara tidak diingini berlaku.

“Tetapi, kita nak nasihatkan mereka (penganjur) supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang berunsur provokatif dan menimbulkan masalah lain,” kata Muhyiddin kelmarin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.