
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata unit integriti dan governans (IGU) itu diletakkan bawah lembaga pengarah syarikat manakala pelaksanaan dan pelaporan fungsi tegas dikawal selia oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“GLC diberikan tempoh pelaksanaan (grace period) selama 2 tahun dari tarikh arahan ini berkuat kuasa (5 Oktober 2018) untuk menubuhkan IGU,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali ke-5 di Perdana Putra hari ini.
Perdana menteri juga mengumumkan JKKMAR telah mencapai 60 inisiatif bagi menambahbaik proses dan sistem tadbir urus, integriti dan anti-rasuah sejak ia ditubuhkan 6 bulan lalu.
Dr Mahathir berkata pelaksanaan usaha-usaha itu di kementerian-kementerian akan dipantau oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).
“Usaha-usaha ini akan dipantau bagi memastikan pelaksanaannya agar Malaysia dikenali kerana integritinya dan bukan kerana rasuah,” katanya.
PM tidak dimaklum kes Scorpene dibuka semula
Dalam perkembangan sama, perdana menteri memaklumkan tidak tahu SPRM membuka semula siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene.
Dr Mahathir berkata kerajaan sehingga kini tidak menerima apa-apa laporan berhubung perkara itu.
“Mereka mungkin lihat keperluannya jika ada bukti yang cukup,” katanya.
Sumber SPRM baru-baru ini dipetik sebagai berkata berkata, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berada di ibu pejabat badan anti-rasuah itu beberapa hari lalu bagi siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM4.67 bilion.
Sumber itu memberitahu beberapa individu lain dijangka akan dipanggil untuk disoal termasuk bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang dikaitkan dengan urus niaga kapal selam itu.