Kerajaan ditipu oleh Jho Low, kata Najib

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengaku kerajaan pimpinannya ditipu oleh ahli perniagaan Low Taek Jho yang didakwa merupakan perancang skandal 1MDB.

Ketika ditanya penasihat eksekutif editorial Kumpulan Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali, apakah kerajaan ditipu oleh Jho Low, Najib mengakui perkara itu.

“Ya, kalau begitu, itulah kesimpulannya (kita ditipu), kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini. Itu sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata, hubungannya dengan Jho Low hanyalah atas dasar profesional semata-mata untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Sebelum isu 1MDB timbul, Jho Low ada hubungan yang rapat dengan negara Timur Tengah terutama Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan lain-lain. Dia berjaya bawa pelaburan. Saya melihat dia dari sudut itu, kalau kita boleh gunakan hubungan baik beliau untuk tingkatkan ekonomi.

“Saya nak kata bahawa hubungan saya dengan beliau adalah hubungan cara profesional sebab saya lihat dia boleh membawa nilai kepada pelaburan dari Timur Tengah ke Malaysia berdasarkan rekod pencapaiannya sebelum ini,” katanya dalam program wawancara bersama akhbar Sinar Harian hari ini.

Dalam perkembangan sama Najib berkata, beliau tidak pernah mengetahui Jho Low secara peribadi, termasuklah apabila beliau dikatakan memiliki kekayaan yang banyak dan terlibat dengan pecah amanah.

“Kalau dikatakan dia ada kapal terbang, dia berparti semua itu, saya tidak terlibat, malah saya tidak tahu langsung tentang apa yang dilakukannya seperti yang hari ini kita tahu.

“Tetapi kalau dia membuat kesalahan dan kalau dia melakukan pecah amanah, dia melakukan sesuatu ang bertentangan dengan undang-undang. Jadi tindakan perlu diambil,” katanya.

Najib berkata, beliau juga bersetuju supaya tindakan diambil ke atas Jho Low.

“Itu saya kata, tindakan perlu diambil. Kalau jelas dia (Jho Low) lakukan kesalahan. Masa itu kita telah lantik peguam, audit, dan Goldman Sachs, sebuah investment bank (bank pelaburan) yang begitu tersohor di peringkat global.

“Tanggungjawab bank ini semua ialah menjaga kepentingan Malaysia, jadi kalau dia gagal menjaga kepentingan Malaysia, macam mana saya nak tahu? Patutnya mereka beritahu ada sesuatu yang tidak betul.”

“Mereka jelas gagal menjalankan tanggung jawab, misalnya Goldman Sachs. Ini terbukti. Jadi maknanya sistem yang wujud nak jaga kepentingan – pelaburan bank, peguam, dan juruaudit – mereka tidak memainkan peranan sebenar,” katanya.

Najib, yang kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya tewas dalam pilihan raya bersejarah pada 9 Mei lepas juga mengakui skandal 1MDB merupakan faktor utama kekalahan itu.

Beliau bagaimanapun menambah, isu itu dieksploitasi untuk tujuan politik bagi menjatuhkan BN.