Ngeh Koo Ham ungguli senarai pengisytiharaan aset dengan RM75 juta

Ngeh Koo Ham ungguli senarai pengisytiharaan aset dengan RM75 juta

Ahli Parlimen Beruas, isteri dan anak mengisytiharkan aset bernilai RM75 juta, menurut SPRM.

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham mengisytiharkan aset terbanyak, iaitu bernilai RM75 juta, menurut laman web pengisytiharaan harta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau diikuti Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memiliki aset terkumpul bernilai RM32 juta.

Laman web SPRM turut menunjukkan Ngeh mengisytiharkan aset bersama isteri dan anak.

Dr Mahathir pula mengisytiharkan aset bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, bersama isteri, memiliki aset terkumpul bernilai RM23 juta, diikuti Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin bersama isteri dan anak yang memiliki aset terkumpul bernilai RM15.3 juta.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan aset bersama isteri memiliki aset bernilai RM14.3 juta.

Semakan di laman web berkenaan juga menunjukkan kebanyakan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta peribadi, pasangan dan anak-anak.

Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas pemimpin Umno yang menyertai PPBM bulan lalu, turut mengisytiharkan aset bersama isteri, dengan aset bernilai RM5 juta.

Laman web berkenaan turut menunjukkan terdapat segelintir Ahli Parlimen Pakatan Harapan masih belum mengisytiharkan aset.

Dr Mahathir sebelum ini berkata semua wakil rakyat PH, termasuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik perlu mengisytiharkan aset mereka kepadanya.

Tarikh akhir pengisytiharan aset didedahkan kepada umum sudah dilanjut beberapa kali.

Dokumen berkenaan sepatutnya diterbitkan 1 Oktober lalu namun ditangguhkan kepada 15 Oktober, dan kemudian 1 November.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.