
Peguam Rafique Rashid Ali, yang mewakili Mahathir, memberitahu FMT bahawa Hakim Donald Joseph Franklin membatalkan pendengaran yang dijadualkan hari ini, esok, 28 dan 29 Jan serta 9 Feb selepas pengurusan kes bersama peguam kedua-dua pihak.
Peguam Alliff Benjamin Suhaimi mewakili Anwar.
Mahathir, 100, dijadualkan meneruskan sesi pemeriksaan balas oleh peguam Anwar.
Pada 6 Jan lalu, beliau terjatuh ketika bersenam di rumahnya yang mengakibatkan tulang pinggulnya retak.
Bekas presiden Umno itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara tetapi tidak akan menjalani pembedahan, sebaliknya hanya menerima rawatan fisioterapi.
Rafique berkata beliau memaklumkan mahkamah bahawa Mahathir memerlukan sedikit masa untuk pulih dan kembali cergas bagi menghadiri prosiding.
“Hakim menetapkan pengurusan kes pada 17 Mac untuk mendapatkan kemas kini mengenai status kesihatan bekas perdana menteri itu,” katanya.
Mahathir menyaman Anwar berhubung kenyataan yang dibuat pada Mac 2023 semasa Kongres Nasional Khas PKR.
Presiden PKR itu didakwa berkata bahawa ‘seseorang yang berkuasa selama 22 tahun dan 22 bulan’ telah memperkayakan diri, keluarga dan kroninya, gagal membayar cukai serta memindahkan dana ke luar negara.
Mahathir mendakwa kenyataan itu ditujukan kepadanya dan bersifat memfitnah.
Anwar mengemukakan pembelaan justifikasi, komen adil dan keistimewaan bersyarat untuk menolak saman tersebut.