
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan ke atas Ng akan diambil di AS kerana kesalahan itu berlaku di sana.
“Jika pihak Amerika minta supaya diekstradisi kita akan terus hantar kepada Amerika,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, di Menara Yayasan Selangor, di sini semalam.
Beberapa media sebelum ini melaporkan Ng ditahan di Malaysia, dan bekas rakan sekerjanya Tim Leissner pula mengaku bersalah di New York bagi kesalahan berkaitan urusan kewangan yang melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Sementara itu, ditanya mengenai bidaan bagi kapal mewah “Equanimity” milik ahli perniagaan, Low Taek Jho ataupun lebih dikenali sebagai Jho Low yang berakhir semalam, Dr Mahathir berkata, beliau belum mendapat maklumat mengenai perkara itu.
Dr Mahathir juga dengan berseloroh berkata “Saya hendak beli tetapi tidak cukup duit,” katanya.
Pada 19 Okt lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah Equanimity sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1MDB, selepas pemilik berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu, dan kerajaan kini boleh menjualnya.
Mahkamah juga memutuskan 2 syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited sebagai pemilik sah dan benefisiari kapal berkenaan, sehubungan itu, secara tidak langsung kerajaan Malaysia adalah benefisiari kedua-dua syarikat itu.