
Bagaimanapun katanya, banyak lagi perlu dilakukan dari segi kawal selia, tetapi tidak mengulas lanjut.
Bercakap kepada pemberita pada majlis Simposium Tahunan Kewangan Islam kali ke-4 di sini hari ini, beliau berkata, TH merupakan institusi yang baik, tetapi disalah urus oleh pihak yang menggunakannya untuk kepentingan politik atau peribadi.
“TH merupakan satu contoh bagaimana pengurusan yang ‘goblok’ (bodoh) yang merosakkan dan mengkhianati amanah.
“Ia bukan salah institusi, bukan salah penabung tetapi pengurusannya yang menyalahgunakan kuasa, merompak harta rakyat dan tindakan harus diambil ke atas mereka,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, TH akan diletakkan di bawah kawal selia BNM bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.
Beliau berkata, Kabinet telah memberikan sokongan penuhnya kepada pemulihan TH, termasuk penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) pada bulan ini.
Fungsi SPV ialah mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset yang menunjukkan prestasi lemah selain menjual aset yang tidak menunjukkan prestasi baik untuk memulihkan kedudukan kewangan TH.
Anwar berkata, sistem kewangan Islam perlu mempunyai peralihan yang jelas dan membincangkan isu-isu, termasuk kemiskinan.
“Sejak beberapa dekad ini, isu ini telah diketepikan.
Bagaimanapun, pada masa ini, ia agenda utama institusi kewangan Islam, termasuk bank yang memberi tumpuan kepada komuniti pada amnya.
“Menjana pertumbuhan bukan hanya mempunyai sistem yang halal, tetapi ia juga perlu adil dan menggalakkan kesaksamaan,” katanya.