
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, langkah terbaik untuk menukar kerajaan hanya melalui pilihanraya.
“Demonstrasi cuma untuk mengatakan rasa syukur terhadap respons kerajaan apa yang kita tuntut daripada ICERD tidak dibawa ke Parlimen, bukan nak jatuhkan kerajaan,.
“Demonstrasi adalah satu daripada amalan demokrasi untuk kita nyatakan rasa tidak puas hati kita terhadap kerajaan. Yang penting ia mesti aman, jangan menganggu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas program Bicara Minda bersama presiden PAS di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.
Abdul Hadi mengulas kenyataan Mahathir bahawa demonstrasi tidak cukup unuk menjatuhkan sesebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi.
“Kalau pilihan raya diketepikan, sebaliknya kita mengikut kehendak demonstrasi, demokrasi tidak muncul. Sementara kita benarkan demonstrasi, besar atau kecil, demonstrasi sendiri tidak boleh jatuhkan kerajaan.
“Yang boleh jatuhkan kerajaan ialah pilihan raya,” katanya.
Negara Islam demokrasi tandatangan ICERD
Hadi turut mengulas persoalan yang dibangkitkan kenapa PAS membantah ICERD sedangkan banyak negara Islam, termasuk Arab Saudi, turut menandatanginya.
Katanya, kebanyakan negara Islam yang menandatangani ICERD tidak amalkan demokrasi.
“Boleh senaraikan mana negara yang tandatangan (ICERD) itu negara demokrasi. Kebanyakannya diperintah tentera atau negara monarki yang tidak ada pilihanraya,” katanya.
Dalam forum yang sama, Hadi turut menyentuh perkara berikut:
* Perpecahan dan isu kafir-mengkafir dalam umat Islam di Malaysia tidak boleh semuanya dipersalahkan pada Amanat Haji Hadi kerana perpecahan berlaku sejak 1960-an lagi.
“Ada yang mahu laksanakan Islam, ada pula yang jahil dan menghina hukum Islam, jadi berlaku pertembungan. Tetapi dalam Islam, kita tak boleh mengkafirkan orang Islam yang jahil.”
* PAS terus mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat tragedi Memali.
“Memang kita cadang RCI sejak dari awal lagi, kita timbul di Parlimen dan terpulang kepada kerajaan. Kalau kata kita diam itu tak betul,” katanya.
* Tidak perlu mengeluarkan simpanan dalam Tabung Haji.
“Tidak perlu pindah, apa yang penting kita perbaiki Tabung Haji itu, kesilapan-kesilapan yang perlu Perbaiki, jangan dengan sebab ada seekor nyamuk kita bakar kelambu itu tak betul,” katanya.