
“Kita membawa mesej yang sangat jelas kepada Putrajaya dan saya dapat rasakan bagaimana dalam hati kecil Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad), hatta pemimpin Melayu Islam sama ada pimpinan PPBM, PKR atau Amanah, memang ada rasa tanggungjawab berkenaan.
“Kalau ada cebisan walau sikit pun rasa tanggungjawab kepada agama, tolonglah. Cuba tengok kepada semua suara DAP, baik di Perak dan semua. Kita nampak mereka begitu lantang dan celupar untuk menguasai negara ini dengan agresif dan pastinya ia memberikan kesan negatif kepada Islam dan orang Melayu,” kata Ketua Pemuda Pas Terengganu, Kamaruzaman Abdullah, memetik laporan Sinar Harian.
Mengulas tindakan berterusan Suhakam menasihati kerajaan meratifikasi 6 konvensyen antarabangsa yang belum ditandatangani Malaysia, Kamaruzaman berkata, ia terpulang kepada badan hak asasi manusia itu.
Katanya, Suhakam berjuang untuk membela hak asasi manusia iaitu menyamaratakan hak semua kaum di negara ini, namun dalam Islam pendekatannya berbeza.
“Islam meletakkan sesuatu pada tempatnya. Sebab itu dalam hadis nabi yang diriwayatkan Ahmad: ‘Kepimpinan di Mekah mesti daripada orang Quraisy’. Ini bermakna, kalau orang lain memimpin, akan huru-hara Mekah.
“Sebab itu kaum dominan pada masa itu mesti mengikut Quraisy. Jadi, Tanah Melayu kena ikut Melayu. Maknanya, kalau orang Melayu tidak diberi kekuasaan sepenuhnya, maka akan berlaku pergolakan. Macam apa yang berlaku hari ini, banyak perkara yang dibuat menyentuh hak orang bumiputera yang digazet oleh Perlembagaan,” katanya.
Sabtu lalu, himpunan membantah ICERD yang dihadiri kira-kira 50,000 peserta berakhir dengan aman kira-kira 4.50 petang.
Himpunan yang bermula 2 petang itu tamat lebih awal daripada masa ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Antara pemimpin pembangkang yang hadir ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.