Kerajaan nafi ruang udara negara diceroboh

Kerajaan nafi ruang udara negara diceroboh

Panglima TUDM Affendi Buang mengesahkan perkara tersebut.

Semalam dilaporkan terdapat helikopter dan dron menceroboh ruang udara negara untuk mengganggu pergerakan kapal milik agensi negara. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Dakwaan kononnya terdapat sebuah helikopter dan dron dari negara jiran yang menceroboh ruang udara negara di Johor adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang mengesahkan perkara tersebut.

“Ya, saya nafikan (dakwaan terdapat) helikopter yang menceroboh ruang udara dan taklimat juga diberi oleh Panglima TUDM (berhubung dakwaan ini),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia Siri 47/2018 di Wisma Perwira, hari ini.

Semalam, media tempatan melaporkan terdapat helikopter dan dron menceroboh ruang udara negara dipercayai untuk mengganggu pergerakan kapal milik agensi negara.

Rakaman berdurasi 2 minit 16 saat itu memaparkan sebuah helikopter dan dron didakwa berada di ruang udara negara tular di laman sosial.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan siasatan Jawatankuasa khas Parlimen berhubung Op Yaman 2, Liew berkata hasil siasatan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

“Buat masa ini, siasatan masih lagi dijalankan dan hasilnya akan diberi terus ke Parlimen,” katanya.

Pada 6 Dis lepas, beliau dilaporkan berkata Jawatankuasa khas Parlimen untuk Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri akan ditubuhkan bagi menyiasat berkaitan Op Yaman 2.

Menurut Liew, siasatan akan menumpukan sama ada atur gerak prosedur operasi standard (SOP) dan aset ke Arab Saudi dalam Op Yaman 2 mematuhi prosedur dan dalam sistem yang betul.

Pada majlis itu, seramai 164 graduan dari dalam dan luar negara menamatkan Kursus Pemerintahan yang dijalankan selama 49 minggu bermula 9 Januari lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.