Nurul Izzah letak jawatan naib presiden, pengerusi PKR Pulau Pinang

Nurul Izzah letak jawatan naib presiden, pengerusi PKR Pulau Pinang

Nurul Izzah akan kekal sebagai ahli 'biasa' PKR.

Nurul Izzah Anwar.
PETALING JAYA:
Nurul Izzah Anwar meletak jawatan sebagai naib presiden PKR dan juga pengerusi PKR Pulau Pinang, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ada kepercayaan dan ideal yang saya junjung tinggi dan saya percaya akan terus dapat bersikap jujur terhadapnya dengan mengambil langkah yang diumumkan ini,” kata anak sulung pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan menambah beliau akan kekal sebagai ahli “biasa” parti itu.

“Saya juga tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan persekutuan atas apa-apa kapasiti. Saya menyerahkan peranan saya dalam syarikat berkaitan kerajaan di peringkat negeri Pulau Pinang kepada keputusan kepimpinan parti,” kata Nurul Izzah, yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Saya akan kekal sebagai anggota penyokong kerajaan yang komited pada pembaharuan. Saya juga menyerahkan kedudukan saya sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kepada kepimpinan parti,” katanya.

“Bagaimanapun saya akan meneruskan usaha saya sebagai seorang rakyat biasa dan Ahli Parlimen Permatang Pauh.”

Mengakui bahawa beliau sepatutnya membuat pengumuman itu lebih awal, Nurul Izzah berkata, perkembangan politik yang berlaku dalam tempoh 9 bulan terakhir jelas tidak ada masa surutnya.

“Di manakah hujungnya agenda pembaharuan yang dijanjikan oleh PH masih menjadi tanda tanya.

“Justeru, semua pemegang taruh perlu terus menggerakkan pengisian pembaharuan itu, juga penerusan polisi dan program kerajaan lepas jika terbukti ia bermanfaat kepada rakyat.”

Terdahulu, bekas ahli Majlis Kepimpinan Pusat PKR Latheefa Koya menempelak pemilihan pengerusi negeri parti itu yang disifatkannya berbaur kronisme.

“Kenapa terlampau berat sebelah dan memihak kepada satu puak?,” soal beliau.

“Pelantikan yang menyebelahi satu puak adalah kronisme, dan berlawanan sama sekali dengan mana-mana parti pembaharuan.”

Latheefa juga mengkritik pelantikan Nurul Izzah sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.

“Tidak perlu disebut lagi bahawa amalan melantik saudara-mara rapat ke jawatan penting sepatutnya tidak berlaku dalam sebuah parti reformasi,” kata peguam PKR itu lagi.

PKR kelihatan terus bergolak berikutan proses pemilihan parti yang berkecamuk dari 14 Sept ke 10 Nov lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.