Bekas ahli Umno sertai PH tak boleh pegang jawatan setahun, kata Khalid

Bekas ahli Umno sertai PH tak boleh pegang jawatan setahun, kata Khalid

Individu yang menyertai mana-mana parti dalam PH perlu menjadi bebas terlebih dahulu.

KUALA LUMPUR:
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, semua bekas ahli Umno yang diterima menyertai Pakatan Harapan (PH) tidak boleh pegang apa-apa jawatan dalam tempoh setahun.

Katanya, ini adalah disepakati pimpinan semua parti dalam gabungan PH, iaitu PPBM, PKR, DAP dan Amanah.

“Ini adalah panduan umum (dalam PH),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Operasi GoKL dan Pelancaran Penggunaan B10 Biodiesel Bagi Kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Sebelum ini, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu tidak akan membuat keputusan membuta-tuli dalam menerima permohonan keahlian baru daripada mana-mana individu, terutama bekas pemimpin Umno.

Beliau berkata, semua permohonan yang dikemukakan perlu melalui saringan dengan memenuhi beberapa syarat, termasuk bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan tiada rekod jenayah

Mengulas mengenai kemasukan ahli Umno ke dalam Amanah, Khalid berkata, tidak semua ahli Umno di peringkat akar umbi bermasalah dan terlibat dengan salah laku jenayah.

“Ramai ahli Umno yang berada di bawah boleh dipakai,” kata Khalid, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, mana-mana pemimpin Umno yang ingin menjadi ahli Amanah juga akan ditemubual terlebih dahulu sebelum diputuskan.

“Jangan kita main angkut ikut suka sahaja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.