
“Orang ramai boleh nyatakan pendapat mereka, tapi terpulang kepada saya untuk membuat keputusan,” kata perdana menteri kepada pemberita selepas melancarkan kuliah kepimpinan anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MIM) di Hotel Istana malam tadi.
Ramai dalam kalangan rakyat, terutama di media sosial, menyalahkan Waytha dan sekurang-kurangnya seorang lagi pemimpin kerajaan atas kejadian yang membawa kepada kematian Muhammad Adib Mohd Kassim. Antara yang bersuara termasuk Pemuda PPBM, yang menujukan lagu “Time to Say Goodbye” buat menteri itu.
Waytha memegang portfolio perpaduan dan integrasi nasional dalam pentadbiran Dr Mahathir.
Kemarahan itu berkaitan dengan reaksi Waytha terhadap keganasan yang menyusuli pertikaian mengenai tanah antara kumpulan penganut Hindu dan pemaju, apabila dia dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan berketurunan India menuduh polis lambat menghalang perusuh.
Waytha juga didakwa gagal meredakan ketegangan kaum dalam isu kuil Seafield itu, yang menyaksikan beberapa kenderaan terbakar dan kompleks One City berdekatan dirosakkan perusuh.
Tetapi, Dr Mahathir berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi kerja Waytha.
“Saya okay, saya rasa okay,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir, yang juga pengerusi PPBM ditanya mengenai amaran Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang dilapor berkata bekas pemimpin Umno yang menyertai partinya akan membawa masuk penyokong masing-masing dan mahu mengambil alih PPBM.
“Tak akan sesekali berlaku. Mereka tak boleh pegang sebarang jawatan sehingga pemilihan akan datang,” katanya ringkas.