Naib presiden PAS saran Umno dibubarkan kerana tiada masa depan

Naib presiden PAS saran Umno dibubarkan kerana tiada masa depan

Mohd Amar Nik Abdullah berkata, cadangan itu sudah lama disuarakannya dan diulang dalam ceramahnya selepas pelbagai kemelut dalaman melanda Umno.

Mohd Amar Nik Abdullah mempersoalkan apa lagi yang mampu ditawarkan Umno kepada rakyat kerana parti itu sudah diberikan peluang selama 60 tahun. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengulangi pendapat peribadinya Umno sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik dan mencadangkan parti itu dibubarkan.

Amar berkata, cadangan itu sudah lama disuarakannya dan diulang dalam ceramahnya selepas pelbagai kemelut dalaman melanda parti itu.

“Secara realistiknya, dari segi masa depan, apa lagi yang Umno mampu tawarkan kepada rakyat. Mereka sudah diberikan peluang selama 60 tahun.

“Saya rasa dari segi politik, masa depan Umno sudah tiada dan sebab itu saya cadangkan ia dibubarkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Letak Kerja dan Pelancaran Logo Pusat Belia Kelantan di Medan Usahawan Kota Bharu hari ini.

Amar mengulas pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi satu temuramah “An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang” di Dublin, Ireland baru-baru ini, yang menyifatkan Umno bahtera bocor dan PAS tidak mungkin akan bergabung dengan parti itu.

Hadi dalam kenyataan itu juga berkata, gabungan dengan parti sedemikian hanya akan menambahkan kesulitan.

Dalam pada itu, Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, beliau mempunyai keyakinan yang optimis terhadap masa depan perjuangan PAS.

“Hari ini rakyat sudah melihat kelemahan Umno. Rakyat juga diberi peluang menilai janji Pakatan Harapan (PH) yang belum ditunaikan, selain kemelut dalaman gabungan parti dalam PH. Kita yakin dengan masa depan perjuangan PAS.”

Mengenai harga petrol dan diesel, beliau berkata, mekanisme penetapan harga bahan bakar itu bukan sesuatu yang penting dan terpulang kepada kerajaan menentukannya.

Katanya, apa yang lebih penting rakyat dapat menikmati harga lebih murah dan mampu dibayar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.