Pusat Perkasa Umno di Janda Baik jadi resort mulai tahun depan

Pusat Perkasa Umno di Janda Baik jadi resort mulai tahun depan

Ilmu dijangka beroperasi sebagai tempat penginapan komersial bermula 15 Februari 2019 untuk orang awam sewa, buat kenduri kahwin atau hari keluarga.

Pusat Latihan Memperkasa Ummah boleh diakses oleh orang awam selepas ia bertukar menjadi resort mulai Feb tahun depan.
PETALING JAYA:
Pusat memperkasa Umno yang terletak di Janda Baik, Pahang dijangka akan menjadi tempat penginapan komersial mulai Februari tahun depan.

Sumber yang dekat dengan Pusat Latihan Memperkasa Ummah (Ilmu) berkata usaha itu bagi mengurangkan kos operasinya selepas kekalahan parti Melayu itu pada pilihan raya 9 Mei lalu.

Beliau berkata pusat itu setakat ini ditukar namanya menjadi Ilmu Resort Janda Baik. Bagaimanapun, beliau berkata mungkin selepas ini akan ditukar kepada nama lain.

“Ilmu akan dibuka menjadi tempat penginapan kepada orang ramai. Kalau sebelum ini, orang luar tidak boleh masuk, sekarang orang boleh sewa, buat kenduri kahwin atau buat hari keluarga.

“Benda ini masih dalam rancangan. Sekarang Ilmu diserahkan di bawah pihak pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sepenuhnya. Di jangka Ilmu akan dibuka menjadi resort bermula 15 Februari tahun hadapan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata setelah Ilmu menjadi resort, mungkin selepas ini pengunjung dibenarkan mengambil gambar dan video, berbanding sebelum ini yang tidak dibenarkan langsung.

Beliau juga berkata pekerja di Ilmu juga bekerja seperti biasa dan pusat itu akan terus menjadi tempat latihan bagi parti berkenaan.

Terletak kira-kira 54km dari Kuala Lumpur, kompleks berdekatan laluan masuk ke Gunung Nuang itu dianggarkan seluas 23 ekar dan tidak boleh dimasuki orang luar tanpa sebab.

Pada 12 Julai lalu, FMT membuat tinjauan mendapati kompleks di pinggir banjaran Titiwangsa itu sepi menunggu masa ia digunakan semula untuk berkhidmat kepada Umno.

Pandangan dari udara kelihatan 2 bangunan besar dan 9 bangunan kecil, dilengkapi tempat letak kereta, 2 kawasan luas dipercayai dataran dan padang dikelilingi beberapa rumah inap.

Pencarian di Internet pula tidak menghasilkan banyak maklumat yang bermakna tentang pusat ini, kebanyakannya gambar aktiviti yang pernah dijalankan di situ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.