PSM mungkin tak bertanding Cameron Highlands kerana khuatir persepsi

PSM mungkin tak bertanding Cameron Highlands kerana khuatir persepsi

Parti sosialis berkata penyokong kerajaan mungkin akan menuduh mereka cuba memecahkan undi antara MIC dan DAP.

PSM tewas di semua kerusi yang ditandingi pada PRU14. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil Cameron Highlands yang ditetapkan 26 Januari ini, kata seorang bekas Ahli Parlimen parti itu.

Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata walaupun PSM belum membuat keputusan rasmi, kemungkinan ia akan bertanding di kerusi Parlimen itu adalah kecil.

PSM hanya memperoleh 680 undi pada pilihan raya umum Mei lepas, dalam pertandingan pelbagai penjuru melibatkan Barisan Nasional, DAP, PAS dan Berjasa. PAS berkata ia tidak akan bertanding kali ini.

PSM tewas di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi.

“Semua ahli kami dan orang kampung di Cameron Highlands berkata mereka tidak cenderung kami bertanding pilihan raya kecil itu,” kata Jeyakumar.

Beliau berkata penyokong kerajaan mungkin akan menuduh parti itu cuba memecahkan undi antara MIC dan DAP, dan menambah ia tidak akan membantu usaha PSM.

Kerusi Cameron Highlands diisytiharkan kosong selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan BN kerana membeli undi semasa berkempen.

Calon MIC, C Sivarraajh, yang bertanding atas tiket BN, tidak mahu mencabar keputusan itu.

Calon DAP, M Manogaran, yang memfailkan petisyen, dikatakan mahu bertanding sekali lagi. Beliau tewas dengan majoriti tipis 597 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.