
Ketuanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata bekas ahli Umno yang cuba menyertai parti itu didesak memohon maaf kepada rakyat, selain menyemak salah laku dan mengisytiharkan harta masing-masing seperti yang dilakukan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika ini.
“Saya tak akan benarkan budaya Umno meresap masuk ke dalam PPBM.
“Buat apa kita terima bekas Umno jika mereka ini melompat masuk semata-mata kerana harta dan nama? PPBM bukan parti harta dan nama. PPBM adalah parti bangsa dan tanah air,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Pemuda PPBM pada hari kedua Pehimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Syed Saddiq berkata, PPBM tidak boleh sesekali dilihat sebagai cerminan Umno 2.0 apabila ramai bekas pimpinan parti Melayu itu kini ‘berhijrah’ ke dalam partinya.
Tegasnya, PPBM akan menjadi sebagai sebuah parti yang gagal jika menerima serta mengamalkan “cara” Umno walaupun secara diam-diam.
“Kita adalah PPBM, bukan Umno. Biar mereka buat kerja kotor dalam politik. Kita lebih tinggi daripada itu. Moral dan nilai yang kita bawa tidak boleh direndah-rendahkan dan dipijak-pijak hanya kerana mahu menang pilihan raya.
“Kita akan gagal jika kita mula menjadi cerminan kepada Umno,” katanya lgi.
Ahli Parlimen Muar itu turut memberi amaran kepada 800 perwakilan yang hadir supaya tidak mengkhianati parti dengan cubaan membuang ketua Pemuda bahagian sayap itu mengikut pintu belakang.
Beliau berkata, Pemuda PPBM perlu menggunakan saluran yang betul jika berasa tidak berpuas hati terhadap mana-mana ketua Bahagian masing-masing.
“Saya sedar ada sekumpulan ahli PPBM yang tidak berpuas hati dengan Pemuda. Ada ketua Bahagian yang cuba membuang ketua Pemuda Bahagian secara senyap-senyap dan mempersoalkan kredibiliti mereka.
“Sekarang tangan yang melantik nak jadi tangan sama yang membuang. Itu tidak adil,” tegasnya lagi.
Beliau berkata, pimpinan tertinggi PPBM juga telah diingatkan untuk meletakkan Pemudanya dalam posisi yang betul dan tepat.
Jelasnya, kejatuhan Umno adalah kerana sikap pemimpin tertinggi parti itu yang bertindak mengabaikan anak muda.
Justeru katanya, PPBM tidak boleh menyesal pada kemudian hari sekiranya memilih jalan yang sama seperti Umno dengan mengabaikan barisan Pemudanya.
“Jangan sesekali kata Pemuda tidak ingatkan pimpinan tertinggi parti. Saat PPBM menyesal, ia sudah terlambat. Percayalah, sudah terlambat.”