Kastam: 4 lagi perkhidmatan baru dikenakan SST mulai 1 Mac

Kastam: 4 lagi perkhidmatan baru dikenakan SST mulai 1 Mac

Ia termasuk perkhidmatan pengendalian taman hiburan, penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan, pembersihan serta penyediaan latihan dan tunjuk ajar.

T Subromaniam berkata, kira-kira 5,000 hingga 10,000 syarikat yang menawarkan 4 perkhidmatan itu akan berdaftar di bawah sistem cukai tersebut.
MELAKA:
Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan diperluaskan kepada 4 lagi perkhidmatan baru berkuat kuasa 1 Mac depan.

Ketika mengumumkannya, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam berkata ini membabitkan perkhidmatan pengendalian taman hiburan, penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan, pembersihan serta penyediaan latihan dan tunjuk ajar.

Perkhidmatan pengendalian taman hiburan itu termasuk taman tema, penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan meliputi komisen bagi jualan saham, perkhidmatan pembersihan termasuk khidmat membersih bangunan serta dobi, manakala penyediaan latihan itu merangkumi khidmat seperti seminar atau bengkel.

Menurutnya, pelaksanaan di bawah skop perkhidmatan bercukai itu bagaimanapun tidak akan membebankan golongan B40.

Ini kerana selain menambah kutipan hasil kerajaan, cukai itu akan turut disalurkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif atau infrastruktur, khususnya untuk golongan B40.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik syarikat terbabit dengan nilai perkhidmatan bercukai melebihi RM50,000 setahun untuk mendaftar pada atau sebelum 28 Februari depan.

“Syarikat terbabit mempunyai 2 bulan mendaftarkan perniagaan mereka dan bersiap sedia melaksanakan kutipan cukai perkhidmatan terbabit,” katanya pada sidang media hari ini.

Turut hadir Pengarah Kastam Melaka, Tuang Aleong dan Timbalan Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Melaka, Noriah Abd Rahman.

Mengulas selanjutnya, Subromaniam berkata, kira-kira 5,000 hingga 10,000 syarikat yang menawarkan 4 perkhidmatan itu akan berdaftar di bawah sistem cukai tersebut.

Katanya, kastam juga akan mengeluarkan panduan industri untuk membantu mereka mendaftar serta kelancaran pelaksanaan sistem cukai berkenaan.

“Syarikat terlibat juga boleh merujuk atau mendapatkan penjelasan lanjut menerusi pelbagai saluran seperti laman sesawang SST, pusat panggilan kastam dan pejabat kastam negeri berhampiran.”

Subromaniam berkata, sebanyak 20,000 hingga 25,000 syarikat akan mendapat manfaat berikutan pelaksanaan pengecualian cukai perkhidmatan melibatkan kumpulan profesional (Kumpulan G) yang memberi perkhidmatan sama kepada orang berdaftar lain dalam kumpulan sama, bermula esok.

Menurutnya, pengecualian cukai itu dapat mengelak kenaikan kos akibat cukai berganda serta mengekalkan daya saing industri perkhidmatan tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.