Kastam Pahang rampas 8 kontena e-waste bernilai RM2.15 juta

Kastam Pahang rampas 8 kontena e-waste bernilai RM2.15 juta

Sindiket itu dipercayai guna taktik ikrar palsu untuk elak Permit Import dengan mengisytiharkan dagangan sebagai campuran tembaga.

Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman (tengah) menunjukkan sisa elektronik yang dirampas dalam serbuan di Pelabuhan Utara pada 3 Feb lepas. (Gambar Bernama)
PELABUHAN KLANG:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan sindiket penyeludupan sisa elektronik (e-waste) membabitkan lapan kontena bernilai kira-kira RM2.15 juta menerusi satu serbuan di Pelabuhan Utara pada 3 Feb lepas.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman, berkata hasil risikan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, pihaknya berjaya menahan lapan kontena bersaiz 40 kaki di CP-Hold Yard, masing-masing diimport dari Kanada (5), Sepanyol (2) dan Croatia (1).

“Rampasan membabitkan e-waste seberat kira-kira 186,737 kilogram dengan nilai anggaran RM2,152,476 yang dipercayai diimport tanpa permit serta diikrarkan secara tidak betul dalam borang pengikraran.

“Pengimportan e-waste merupakan barangan larangan bersyarat dan hanya dibenarkan mengikut peruntukan Butiran 54, Bahagian I, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar. Kes ini masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Gudang CT1, Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kandungan sebenar kontena tidak selari dengan pengikraran, sekali gus menimbulkan syak terhadap cubaan menyeludup e-waste dari luar negara melalui pintu masuk utama negara.

Beliau menjelaskan, sindiket dipercayai menggunakan taktik pengikraran palsu bagi mengelak keperluan Permit Import dengan mengisytiharkan dagangan sebagai campuran tembaga untuk melepasi tapisan pemeriksaan.

“Taktik pengikraran palsu ini jelas bertujuan mengaburi pihak berkuasa dan mengelakkan pematuhan peraturan import yang ditetapkan.

“JKDM memandang serius sebarang cubaan membawa masuk e-waste kerana ia memberi implikasi besar terhadap alam sekitar, kesihatan awam serta keselamatan negara,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan, yang memperuntukkan hukuman denda berat atau pemenjaraan jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Asri berkata pihaknya akan terus memperhebat risikan serta penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang merugikan hasil negara.

“Kami akan memperkukuh kerjasama antara agensi bagi memastikan barangan larangan bersyarat seperti e-waste dikawal ketat mengikut peruntukan undang-undang.

“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Mohd Asri menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat dengan jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.