Umno: PH tiada idea bina rumah untuk Bumiputera, Melayu

Umno: PH tiada idea bina rumah untuk Bumiputera, Melayu

Umno mendakwa Bumiputera dan Melayu dipinggirkan sama sekali dalam penyediaan perumahan oleh kerajaan PH.

PH dikatakan ketandusan idea berbanding kerajaan BN dalam membantu menyediakan rumah kepada rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa gagal menyediakan rumah mampu milik khususnya kepada golongan Melayu dan Bumiputera yang tidak berkemampuan, kata Umno.

“Apa yang jelas dapat dilihat ialah golongan kurang berkemampuan Bumiputera dan Melayu dipinggirkan sama sekali dalam penyediaan perumahan,” kata Ketua Wanita Umno, Datuk Norani Ahmad kepada FMT.

Katanya, kerajaan PH tiada inisiatif baru, selain ketandusan idea berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu menyediakan rumah kepada rakyat.

“Tidak nampak inisiatif yang benar-benar ditunjangi kerajaan PH dalam menjaga kebajikan golongan miskin terutama golongan B40 ini.

“Tidak banyak idea baru yang dicetuskan kerajaan PH melainkan menciplak dan mengulang apa yang dilaksanakan Kerajaan BN sebelum ini seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad.

“Ini membuktikan ilham kebijaksanaan pemimpin BN tidak mampu ditandingi pemimpin PH dalam membantu rakyat di negara ini secara total,” katanya.

Beliau menambah, langkah kerajaan sekarang jauh berbeza dengan apa dilakukan BN yang meletakkan keutamaan kepada Melayu dan Bumiputera dalam menyediakan rumah.

“Kerajaan BN sebelum ini yang sentiasa meletakkan prioriti penting terhadap Melayu Bumiputera. Begitu mahal harga (rumah) yang terpaksa Melayu Bumiputera ini apabila menukar kerajaan campuran ini.

“Skim FundMyHome melalui platform penjanaan dana masyarakat (property crowdfunding) diperkenalkan bagi membantu membiayai belian rumah umpamanya, menunjukkan betapa kerajaan PH ini mementingkan keuntungan pemaju dari kebajikan rakyat di negara ini.

“Model ekonomi ‘trickle down effect’ di mana yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin nampaknya kembali menghantui dan perlahan-lahan menindas golongan kurang berkemampuan di negara ini.

“Melayu Bumiputera perlu membuka mata melihat betapa Kerajaan PH mengabaikan hak tuan rumah di bumi bertuah ini,” katanya.

Tak perlu malu teruskan projek perumahan BN

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, kerajaan PH tidak perlu malu untuk meneruskan projek perumahan yang diperkenal pada zaman BN, cuma ia perlu ditambah jumlahnya, bukan dikurangkan.

“Sejak 2009, anggaran sebanyak 83,759 unit rumah PPR, telah disiapkan di seluruh negara tanpa mengira tempat dan negeri.

“Jelas projek ini memberi manfaat kepada ribuan golongan berpendapatan rendah dan tiada salahnya sekiranya projek sebaik ini diteruskan, malah patut terus diperkasakan oleh kerajaan hari ini kerana yang paling penting adalah keselesaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya sambil memaklumkan projek PR1MA dan PPA1M perlu ditambah.

Tambahnya, projek bagi mereka berpendapatan rendah seperti Rumah Idaman Rakyat yang membina rumah atas tanah kurniaan kerajaan negeri atau persekutuan pada harga tidak melebihi RM350,000 untuk golongan kurang upaya dan ibu tunggal juga perlu diteruskan.

Kerajaan PH beri projek perumahan kepada semua kaum

Sementara itu, Naib Ketua Umno Bahagian Seputeh Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii mendakwa kerajaan PH merancang memberi rumah yang dikhaskan kepada Bumiputera kepada semua kaum.

“Perancangan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) hari ini yang memberi kejayaan pemilikan pelbagai kaum pun mereka nak cuba tukar, memang benar ada unit-unit khas untuk Bumiputera tidak dijual, kerajaan PH mahu membukanya kepada semua kaum kerana dasar PH.

“Sebelum ini, kerajaan BN melaksanakan kuota pemilikan perumahan kerana mahukan demografi penduduk di bandar majmuk namun ianya serikali dibantah oleh wakil rakyat DAP kerana mereka lebih suka kaum Cina menguasai bandar,” katanya.

Sebelum ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, Dasar Perumahan Negara yang baru bertujuan memudahkan pemilikan rumah oleh rakyat akan diperkenalkan akhir tahun ini.

Beliau berkata melalui dasar baharu itu, polisi yang akan diubah akan membantu memudahkan proses pinjaman dan perundangan untuk rakyat memiliki kediaman sendiri.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.