MBPP defisit 70 kali ganda kerana projek jalan Bukit Kukus

MBPP defisit 70 kali ganda kerana projek jalan Bukit Kukus

Ketua menteri berkata kewangan MBPP masih dalam keadan baik walaupun dengan angka defisit yang tinggi.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mencatatkan defisit kewangan yang besar pada 2017 kerana kos projek jalan Bukit Kukus. Pihak berkuasa tempatan itu menanggung kos hampir RM300 juta kerana projek itu.

Audit persekutuan menunjukkan MBPP berbelanja besar pada 2017 sehingga ia mencatatkan defisit 6,893.6% berbanding tahun sebelumnya.

Chow berkata walaupun pembinaan jalan di luar bidang kuasa PBT itu, ia perlu mengambil projek itu demi kepentingan orang ramai dan atas kehendak kerajaan negeri.

Beliau berkata kewangan MBPP masih dalam keadaan baik walaupun dengan angka defisit yang tinggi kerana ia mengutip caj pembangunan dalam pasaran hartanah tempatan yang makmur serta sumbangan lain.

Chow berkata majlis membelanjakan kutipan daripada pemaju itu untuk melaksanakan projek prasarana.

“Kebiasaannya majlis perbandaran tidak akan melaksanakan projek jalan besar seperti itu. Ia juga berada di luar bidang kuasa MBPP.

“Tetapi kami perlu kurangkan kesesakan di kawasan Air Itam, Paya Terubong, Bukit Jambul dan Rulau.

“Ini perbelanjaan luar biasa. Jika ia tidak berbelanja sebanyak itu, akan ada lebihan,” katanya pada sidang media di Komtar bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

MBPP dilapor akan membelanjakan RM275.6 juta untuk membina 3 segment daripada jalan berkembar Bukit Kukus yang sepanjang 5km, menghubungkan Bandar Baru Air Itam dan Relau, yang keseluruhannya berjumlah RM545 juta.

Projek itu bermula pada 15 Januari 2016 dan sepatutnya siap 14 Januari tahun ini.

Tanah runtuh yang menyaksikan 9 terbunuh dan 4 cedera menghentikan projek itu. Sekarang ia dijangka siap pada 2020.

Sebahagian daripada jalan itu dibina oleh MBPP. Laluan sepanjang 1.4km akan dibina oleh PLB Land Sdn Bhd dan satu lagi laluan sepanjang 800m akan dibina oleh Geo Valley Sdn Bhd.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 siri ke-2, defisit MBPP naik kepada RM98.61 juta atau 6,893.6% berbanding RM1.41 juta pada 2016.

Pertambahan defisit itu kerana baikpulih utiliti awam dan pertambahan aset modal (RM29.49 juta); penyelenggaran kenderaan; dan pembelian peralatan pejabat, elektronik dan bayaran profesional dan keraian yang mencecah RM11.69 juta.

Sejumlah RM24.53 juta diperuntukkan untuk susutnilai dan pelunasan aset.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.