Tunggu presiden umum, Saifuddin beritahu pemimpin PKR

Tunggu presiden umum, Saifuddin beritahu pemimpin PKR

Ia susulan gesaan Dr Afif Bahardin yang meminta agar jawatan pengerusi baru negeri itu segera diisi.

Saifuddin Nasution Ismail berkata lantikan presiden PKR negeri berada sepenuhnya di bawah Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Pimpinan PKR Pulau Pinang diminta bersabar dan menyerahkan urusan lantikan pengerusi baru bagi negeri itu kepada presiden parti, kata setiausaha agung PKR.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lantikan bagi jawatan itu berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan setiap pimpinan parti diingatkan untuk menghormati perkara tersebut.

“Semua pihak harus menyerahkan kepercayaan kepada presiden PKR untuk membuat keputusan. Itu sahaja.

“Yang itu bidang kuasa presiden, jadi kita tunggu presiden buat pengumuman,” katanya kepada FMT.

Semalam seorang pemimpin PKR menggesa parti itu tidak menangguhkan pelantikan pengerusi baru di Pulau Pinang, susulan peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar bulan lepas.

Dr Afif Bahardin yang juga bekas timbalan ketua Pemuda PKR berkata, lebih bagus untuk parti jika jawatan itu segera diisi.

Malah, beliau berkata Anwar mesti “membuat keputusan segera” untuk mengisi kekosongan itu, memandangkan ketika ini input daripada parti kepada pentadbiran kerajaan Pulau Pinang tidak disalurkan, dan isu-isu parti negeri juga belum ditangani.

“Kalau kita tidak segera melakukannya, ia akan membantutkan usaha PKR memenuhi tanggungjawab sebagai rakan penting dalam kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang,” katanya.

Saifuddin bagaimanapun mengingatkan Afif untuk menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Adun Seberang Jaya dan exco negeri itu ketika ini.

Katanya, Afif perlu menghormati Anwar sebagai presiden parti dan sepatutnya menunggu sebarang keputusan yang akan dibuat pemimpin itu kelak.

“Dr Afif, adalah lebih molek menumpukan tugas sebagai wakil rakyat dan menyerahkan tugas itu sebagai presiden parti. Tugasan sebagai Adun dan exco ini banyak.

“Jadi tugasan untuk menamakan pengerusi negeri, itu tugas presiden jadi kita tunggu sahajalah. Kita menghormati bidang kuasa presiden,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.