
Menurut Bernama, kereta yang dikeluarkan pada 1985 dengan nombor platnya “Proton 1” tersebut adalah hadiah kerajaan kepada bapanya, Almarhum Sultan Iskandar yang bergelar Yang di-Pertuan Agong semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri ke-4.
Kereta Proton yang dipandu Sultan Ibrahim dilihat meninggalkan pintu utama Istana Bukit Serene dengan Dr Mahathir duduk di kerusi penumpang hadapan.
Dr Mahathir bertemu dengan Sultan Ibrahim hari ini, pertemuan pertamanya dengan Sultan Johor sejak pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas yang mengembalikannya ke jawatan perdana menteri.
Sumber memberitahu FMT, pertemuan itu berlangsung selama 90 minit dan penuh ramah mesra.
Pertemuan hari ini amat penting kerana istana Johor beberapa kali bertelagah secara terbuka dengan Dr Mahathir.
Ia berlaku di tengah-tengah spekulasi bahawa Sultan Johor akan menjadi Agong seterusnya untuk mengisi jawatan itu di bawah satu sistem giliran unik dalam kalangan 9 raja Melayu.
Jawatan itu dikosongkan selepas Sultan Muhammad V mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri menafikan pertemuan itu berkaitan dengan jawatan Agong.