Jangan salah tafsir keputusan tahanan rumah Najib, kata AGC

Jangan salah tafsir keputusan tahanan rumah Najib, kata AGC

AGC gesa semua pihak hormati tindakan rayuan oleh bekas perdana menteri.

agc
AGC tegas cubaan hasut atau gugat ketenteraman awam dengan tafsiran salah keputusan Mahkamah Tinggi ‘amat tidak wajar’.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi amaran berhubung sebarang tindakan yang cuba menghasut dan menggugat ketenteraman awam dengan tafsiran salah terhadap penghakiman mahkamah, yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib Razak berkaitan titah adendum.

AGC menegaskan tindakan sedemikian ‘amat tidak wajar’, dan menggesa semua pihak menghormati tindakan untuk merayu yang diambil oleh bekas perdana menteri itu.

Ia turut menyangkal dakwaan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam menolak permohonan Najib telah mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Raja-Raja Melayu, atau Yang di-Pertua Negeri (YDPN) dalam urusan pengampunan.

Menurut AGC, kenyataan peguam Najib itu tidak benar sama sekali, dan tidak mencerminkan alasan sebenar yang diberikan oleh mahkamah.

Katanya, mahkamah menekankan bahawa pengampunan adalah kuasa prerogatif YDPA, yang terjamin bawah Perkara 42(1) Perlembagaan sebagaimana diputuskan dalam keputusan duluan mahkamah atasan, semasa menolak permohonan Najib.

“Namun begitu, Perkara 42 Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa dalam menjalankan kuasa prerogatif tersebut, YDPA dan Raja-Raja Melayu serta YDPN akan bersidang bersama lembaga pengampunan dalam memutuskan sesuatu permohonan pengampunan,” menurut kenyataan.

Katanya, minit mesyuarat lembaga pengampunan bagi Wilayah Persekutuan ke-61 mendedahkan bahawa perihal berhubung tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau dititahkan oleh YDPA semasa mesyuarat tersebut.

Mesyuarat tersebut hanya membincangkan permohonan pengampunan penuh oleh Najib, dan titah YDPA ketika itu hanyalah supaya hukuman penjara dan denda dikurangkan sebanyak 50%, katanya.

Sehubungan itu, katanya, hakim memutuskan bahawa titah tambahan untuk tahanan rumah tidak dibuat berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan memandangkan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat, dan tidak diputuskan oleh YDPA dalam mesyuarat sama.

“Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan mahkamah ini tidak sama sekali mengurangkan kuasa YDPA, Raja-Raja Melayu atau YDPN dalam memberikan pengampunan terhadap seseorang pesalah.

“Malahan, hakim dalam penghakiman lisannya telah mengiktiraf kuasa prerogatif YDPA, Raja-Raja Melayu serta YDPN tersebut. Kuasa pengampunan ini tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak lain.

“Namun begitu, selaras dengan konsep raja berperlembagaan, kuasa pengampunan tersebut perlu dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat Perlembagaan sebagaimana dinyatakan bawah Perkara 42 Perlembagaan,” katanya.

AGC menjelaskan bahawa keputusan mahkamah telah menjelaskan dengan terperinci perjalanan kuasa YDPA, Raja-Raja Melayu dan YDPN dalam memutuskan sesuatu pengampunan, sekaligus memperkukuh dan mengesahkan kuasa institusi diraja.

Najib disabitkan kesalahan salah guna RM42 juta dana SRC International dan mula menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Beliau memohon pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Pada 2 Feb 2024, lembaga pengampunan mengumumkan hukuman penjara Najib dipendekkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 1 April 2024, yang memohon perintah mandamus supaya tujuh responden yang dinamakan termasuk kerajaan Malaysia mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Jan 2024, yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah, dan sekiranya disahkan wujud maka responden berkaitan melaksanakannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.