
Beliau membuat kejutan itu setelah muncul di pusat penamaan calon, SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata di sini kira-kira 9.35 pagi bersama 100 penyokong.
“Saya umum tidak bertanding dalam PRK kali ini. Saya menyokong Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada media.
Dalam satu kenyataan bertulis yang dilihat FMT, Kayveas berkata, beliau menyertai politik untuk membuat perubahan dalam masyarakat dan pada tahun-tahun terakhir bersama kerajaan sebelum ini, beliau berjuang untuk menghapuskan dasar berasaskan kaum kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi tidak berjaya.
Katanya, beliau juga melihat bagaimana agama semakin disalahgunakan tanpa mengira kerosakan yang disebabkannya, selain unsur rasuah dalam pentadbiran terdahulu yang menghakis jiwa dan jati diri Malaysia.
“Atas sebab inilah saya membuat keputusan meninggalkan BN sebelum pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas dan menyokong PH,” katanya dalam kenyataan itu.
Katanya, beliau mengumumkan niat bertanding di Cameron Highlands sebelum ini kerana dilahirkan di daerah itu dan merupakan tempat beliau membantu pelbagai komuniti yang mendiami Cameron Highlands.
“Tetapi pada hari ini, saya mahu jelaskan supaya tidak ada lagi ruang untuk salah tafsiran, saya adalah penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kekuatan dan kebijaksanaan perdana menterilah yang akan membawa kita keluar daripada kerosakan yang ditinggalkan rejim lama,” katanya.
Setakat ini, 4 individu menyerahkan borang pencalonan bagi PRK Cameron Highlangs, iaitu calon PH, M Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Nor dan 2 calon bebas, Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Wee.
Tarikh membuang undi ditetapkan 26 Jan ini, sementara pengundian awal pada 22 Januari.
Pada 4 Jun lepas, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan pilihan raya umum bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada 9 Mei lalu yang dimenangi Datuk C Sivarraajh dari MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan tersebut terbatal kerana wujud amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 Dis lalu mengesahkan keputusan mahkamah itu dan mengisytiharkan Sivarraajh tidak layak bertanding dalam PRK yang bakal diadakan.
Sivarraajh, yang menghadapi persaingan 5 penjuru pada pilihan raya umum lepas memenangi kerusi itu dengan 10,307 undi, manakala Manogaran meraih 9,710 undi.