Ubah definisi ‘sukarelawan’ terima duit, MCA sindir PH

Ubah definisi ‘sukarelawan’ terima duit, MCA sindir PH

MCA berkata istilah sukarelawan perlu ditambah baik sesuai dengan amalan PH memberi ganjaran kepada sukarelawan PRK sebagai menghargai penat lelah mereka.

Sebelum ini tular di media sosial menunjukkan seorang wanita berbaju merah PH didakwa mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands yang dalam tempoh berkempen PRK. (Gambar Facebook)
CAMERON HIGHLANDS:
Pemimpin MCA mencadangkan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminda semula definisi “sukarelawan” dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam nada menyindir, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, istilah berkenaan perlu ditambah baik sesuai dengan amalan parti pemerintah yang menganggap pemberian ganjaran wang kepada sukarelawan parti yang bertugas sebagai menghargai penat lelah mereka.

“Saya minta mereka (kerajaan) ubah definisi sukarelawan. Kalau kita kata sukarelawan, dia semak kamus apa? Apa maksud sukarelawan? Orang yang akan memberi khidmat tanpa menerima sebarang ganjaran.

“Takkan kita nak ubah definisi sukarelawan di bawah Malaysia baru di mana sukarelawan ini adalah orang yang berkhidmat tetapi boleh diberi ganjaran termasuk duit minyak dan lain-lain. Adakah itu yang mereka maksudkan,” katanya semasa sidang media di sebuah hotel, selepas mengadakan perjumpaan dan dialog dengan pemimpin akar umbi MCA Cameron Highlands.

Hadir sama calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor di mana program itu diadakan secara tertutup di hotel berkenaan.

Wee berkata demikian ketika diminta mengulas penularan beberapa gambar seorang wanita berbaju PH dipercayai petugas kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands yang didakwa mengagihkan wang tunai kepada beberapa individu.

PH kemudian tampil menafikan gambar beberapa individu memakai baju logo gabungan itu mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands sebagai politik wang, sebaliknya ia adalah bayaran balik kos petrol kepada sukarelawan yang membantu parti kerajaan.

Wee juga berkata, Kerajaan PH tidak boleh menipu kerana gambar berkenaan tular di media sosial dengan jelas menunjukkan baju yang dipakai oleh pelaku dan penerima, bukan baju menggunakan logo pakatan lama.

“Ini bukan gambar lama, baju tulis Harapan baru dan PH dapat pendaftaran selepas PRU14, mereka tak boleh kelentong pasal baju, dulu lambang PKR di depan tapi sekarang Harapan.

“Ini bermaksud baju itu sendiri dapat kita kenal pasti memang berlaku baru-baru ini dan ianya patut disiasat.

“Jadi orang Cameron Highlands akan menilai, mereka akan jadi hakim. Saya pun tidak tahu apakah hujah yang akan dikeluarkan oleh kerajaan esok bersangkut-paut dengan apa yang berlaku pada hari ini,” katanya.

Wee juga mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan dan tidak bertindak berat sebelah susulan dakwaan itu kerana ia jelas menyalahi peraturan pilihan raya.

“Saya juga terkejut bila pengerusi SPR kata tidak ada bidang kuasa untuk siasat. Dulu macam-macam arahan dikeluarkan, tidak boleh buat itu dan ini, kenapa masa itu tidak pula kata tiada hak menyiasat. Saya hanya nasihat.

“Kalau SPR tidak boleh ambil tindakan, SPRM boleh ambil tindakan, kalau poster salah tampal dia boleh potong, ini bagi duit takkan tidak boleh ambil tindakan.

“Bekas wakil rakyat kita dulu hilang kelayakan kononnya sebab benda macam ini. Adakah selepas Malaysia baru ini semuanya dihalalkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.