Nilai reformasi kerajaan ikut fakta, bukan persepsi, PKR jawab Hadi

Nilai reformasi kerajaan ikut fakta, bukan persepsi, PKR jawab Hadi

Ketua Pemuda PKR berkata, kritikan presiden PAS terhadap reformasi sekadar usaha pengaruhi pemikiran rakyat melalui politik ketakutan.

Kamil Munim & Hadi Awang
Ketua Pemuda PKR Kamil Munim bidas kenyataan Presiden PAS Hadi Awang yang mendakwa reformasi kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim ‘diimport dari Barat’.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda PKR Kamil Abdul Munim menegaskan prestasi kerajaan perlu dinilai berdasarkan pencapaian sebenar, bukan persepsi atau retorik yang menakut-nakutkan masyarakat.

Beliau berkata demikian sebagai membidas Presiden PAS Hadi Awang yang dilaporkan melabel agenda reformasi kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘diimport dari Barat’.

Kamil berkata, kritikan Hadi terhadap reformasi hanyalah usaha mempengaruhi pemikiran rakyat melalui politik ketakutan bagi menyerang kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

“Pencapaian prestasi kita dalam soal rasuah, tatakelola pengurusan itu perlu diukur dengan angka. Buktinya pelaburan kita meningkat, pengangguran kita menurun, inflasi terkawal dan pertumbuhan ekonomi baik. Ini yang sebenarnya kita kena lihat,” katanya menerusi wawancara bersama FMT.

Menurutnya, pencapaian kerajaan dalam aspek tatakelola dan penguatkuasaan undang-undang dapat dilihat melalui penjimatan subsidi, serta kejayaan menyelamatkan RM15.5 bilion hasil menerusi pengurusan pentadbiran yang lebih berkesan.

Dalam pada itu, Kamil berkata, pendekatan PAS yang menggambarkan reformasi sebagai agenda penjajah atau pro-Barat adalah sebahagian usaha menanam sentimen kebencian dan mengelirukan masyarakat.

Katanya, reformasi sering dilabel sebagai istilah Barat semata-mata kerana penggunaan bahasa Inggeris, namun dianggap ‘Islamik’ sekiranya diganti dengan istilah Arab.

Beliau menambah, PAS mudah menghalalkan sesuatu perkara jika sehaluan dengan mereka, namun mengharamkan dan menolak segala usaha pihak lain yang tidak sehaluan, termasuk reformasi yang membawa manfaat kepada rakyat.

“Ini modus operandi yang biasa digunakan oleh pimpinan PAS … kalau nak halalkan sesuatu benda, harus bersama mereka. Kalau tidak bersama mereka, haram semua, semua salah,” katanya.

Isnin lepas, Hadi mengkritik reformasi yang didakwanya ‘diimport dari Barat’ oleh kerajaan perpaduan pimpinan PH, sambil memberi amaran bahawa gerakan itu mengheret Malaysia ke arah kemerosotan moral dan sosial.

Beliau berkata, reformasi seperti dianjurkan oleh kerajaan perpaduan ‘masih terus bergayut dengan teguh kepada fahaman sekularisme berdasarkan prinsip ciptaan manusia sahaja, tidak berpandukan hidayah Allah’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.