
Raja Nazim Raja Nazuddin memberitahu FMT, beliau juga mengalu-alukan laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh Padu, yang dituduh membazirkan jutaan ringgit di bawah pentadbiran kerajaan lalu.
Beliau berkata dakwaannya yang diterbitkan dalam temubual FMT baru-baru ini hanya “sebahagian kecil daripada sejumlah besar masalah” dan pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dapat bersedia dengan penemuan yang lebih terperinci dan jelas.
“Sama ada tindakan yang bersesuaian akan diambil terhadap orang yang melakukan kesalahan sebenar akan menjadi ujian litmus sama ada kerajaan baru benar-benar mengotakan kata-katanya untuk toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa,” katanya.
Nazim, bekas ketua pegawai kewangan Padu, berkata beliau juga sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis terhadap unit di bawah KPM itu kerana mendedahkan kes mahkamah perusahaan yang belum selesai. Beliau berkata kebenaran di sebalik penamatan kontraknya akan didedahkankan dalam masa terdekat.
Terdahulu, dilaporkan Padu membuat laporan polis terhadap Nazim untuk menyangkal tuduhan itu.
“KPM ingin menjelaskan bahawa tuduhan yang dibuat, yang dikatakan berlaku semasa kerajaan lama itu sama sekali tiada kaitan dengan amalan kerajaan baru yang mengutamakan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti,” kata KPM dalam satu kenyataan.
KPM memberitahu, Raja Nazim adalah bekas pekerja unit Padu yang dilantik secara kontrak dan mula bertugas dari 15 Nov 2013 di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kontraknya ditamatkan pada 2 April 2015.
Raja Nazim sebelum ini menggesa kerajaan supaya merombak unit tersebut yang didakwa membazirkan jutaan ringgit di bawah pentadbiran kerajaan lalu.
Padu ditubuhkan pada 2013 untuk menggerakkan dan memantau prestasi inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.