Kertas cadangan Sekolah Selamat 2.0 dikemuka suku pertama 2026

Kertas cadangan Sekolah Selamat 2.0 dikemuka suku pertama 2026

Teras utama dicadang ialah Dasar Kesejahteraan Mental Sekolah Nasional agar program berkaitan keselamatan mental dan psikologi dapat dilaksana secara tersusun dan bersepadu.

pelajar student
Dapatan sesi dialog hari ini menunjukkan kebanyakan pelajar lebih selesa berkongsi masalah dengan guru kelas yang berinteraksi dengan mereka setiap hari, berbanding guru kaunseling.
KUALA LUMPUR:
Kertas Cadangan Integrasi Kerangka Sekolah Selamat 2.0 yang merangkumi 11 bahagian, termasuk pindaan Akta Pendidikan dan penggubalan peraturan baharu, akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM), pada suku pertama tahun depan.

Ketua Penyelidik Monna Ong View Siew berkata, antara teras utama yang dicadangkan ialah Dasar Kesejahteraan Mental Sekolah Nasional, bagi memastikan program berkaitan keselamatan mental dan psikologi dapat dilaksanakan secara tersusun dan bersepadu.

Dapatan sesi dialog hari ini menunjukkan guru merupakan titik sentuhan psikologi pertama bagi pelajar, memandangkan kebanyakan pelajar lebih selesa berkongsi masalah dengan guru kelas yang berinteraksi dengan mereka setiap hari, berbanding guru kaunseling.

“Justeru, latihan ‘psychological first aid’ (PFA) perlu diperkenalkan kepada semua guru, bukan sahaja kepada guru kaunseling bagi membantu mereka memahami perubahan tingkah laku serta trauma yang dialami pelajar,” katanya pada Forum ‘From Their Eyes, A Youth Dialogue on Safety, Stress and Support’ di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).

Selain peranan guru, hubungan antara pelajar, ibu bapa dan sekolah juga perlu diperkukuh kerana rata-rata pelajar terlibat dalam forum itu enggan mengadu masalah dihadapi kepada ibu bapa, walaupun penglibatan ibu bapa amat penting bagi isu yang lebih serius.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar program literasi kesihatan mental untuk ibu bapa dilaksanakan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), supaya ibu bapa mempunyai kefahaman asas mengenai aspek psikologi anak-anak.

Kertas cadangan berkenaan turut mengesyorkan penubuhan satu mekanisme penyelarasan nasionaI yang menggabungkan sekolah, KPM, Kementerian Kesihatan (KKM) serta penyedia perkhidmatan klinikal dan semua kementerian berkaitan, untuk bekerjasama bawah satu majlis untuk membantu pelajar secara menyeluruh.

Dalam forum tersebut, enam wakil pelajar Tingkatan 6 daripada SMK Maxwell, SMK Sultan Sulaiman Terengganu dan pelajar TAR UMT, berkongsi pandangan mengenai hubungan baik antara pelajar dan guru, serta layanan yang adil mampu membuka ruang kepada pelajar untuk meluahkan masalah dan tekanan dihadapi.

Kumpulan pelajar itu berkata, mereka lebih selesa berkongsi masalah dengan rakan sekelas dan guru berbanding ibu bapa, kerana tidak mahu membebankan ibu bapa dengan masalah atau tekanan akademik yang dihadapi.

Mereka turut mencadangkan penyediaan sudut khas di sekolah sebagai ruang selamat untuk pelajar melepaskan tekanan yang dihadapi, sekiranya belum bersedia berkongsi masalah tersebut kepada guru atau rakan-rakan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola dan Majlis Alumni TAR UMT Chan Kong Choy berkata, penganjuran forum seumpama itu penting, kerana dasar melibatkan generasi muda tidak seharusnya dibentuk berdasarkan andaian orang dewasa semata-mata.

“Pengalaman peribadi dan suara pelajar perlu diambil kira, bagi memastikan sebarang dasar yang ingin dilaksanakan lebih relevan dan berkesan,” katanya.

Chan berkata, usaha pasukan penyelidik TAR UMT itu membuktikan bagaimana hasil penyelidikan akademik dapat diterjemahkan kepada pandangan praktikal, bagi menyokong pembentukan dasar berasaskan bukti ke arah reformasi pendidikan jangka panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.