KKM kaji pinda akta perluas kawal selia caj hospital swasta

KKM kaji pinda akta perluas kawal selia caj hospital swasta

Timbalan menteri kesihatan berkata, selain fi konsultasi, pihaknya turut ingin perluas kawal selia kepada caj-caj lain supaya inflasi kesihatan terkawal.

hospital payment counter
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, orang awam yang dikenakan caj konsultasi berlebihan di hospital swasta boleh buat aduan di laman sesawang KKM atau hubungi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti beberapa pindaan terhadap Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi memperluas kawal selia berkaitan isu caj berlebihan di hospital swasta.

Pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah itu penting memandangkan isu inflasi kos perubatan dan penggunaan perkhidmatan kesihatan turut melibatkan peranan Kementerian Kewangan melalui Bank Negara Malaysia serta sektor insurans.

“Memang kita sedang mengkaji beberapa pindaan bersesuaian untuk memperluas kawal selia di bawah Akta 586 … selain fi konsultasi, kita ingin perluas beberapa caj lain supaya inflasi kesihatan dapat dikawal,” katanya, lapor Bernama.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator R A Lingeswaran yang ingin tahu langkah kerajaan untuk meminda Akta 586 bagi mengawal selia kos caj bukan profesional dengan segera.

Terdahulu, ketika menjawab soalan tambahan Senator S Vell Paari mengenai mekanisme perlindungan disediakan KKM untuk membela hak pesakit dikenakan caj berlebihan oleh hospital swasta, Lukanisman berkata, Akta 586 ketika ini hanya meliputi caj konsultasi dan tatacara prosedur.

Caj lain seperti harga ubat dan peralatan tidak berada di bawah kawalan KKM, tambahnya.

Beliau berkata, KKM menerima 817 aduan tahun lepas serta mengenakan kompaun membabitkan 188 caj, iaitu aduan caj konsultasi (70); caj prosedur (48); caj ubat (25); dan selebihnya berkaitan kes di bawah kerangka kawal selia KKM.

Katanya, orang awam yang dikenakan caj konsultasi berlebihan boleh membuat aduan di laman sesawang KKM atau menghubungi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).

Menurut Lukanisman, fasiliti swasta yang tidak mematuhi jadual fi bawah Akta 586 boleh diambil Tindakan, antaranya melalui surat amaran atau kompaun di bawah Subseksyen 106(4).

“Jika disabitkan, denda maksimum ialah RM5,000 bagi pemilik tunggal dan RM15,000 bagi pertubuhan, perbadanan, perkongsian atau organisasi.

“Notis tunjuk sebab untuk pembatalan lesen juga boleh dikeluarkan dalam kes bersesuaian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.