
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Zukri Samat berkata pindahan itu dianggap selesai pada 31 Disember 2018.
“Jumlah (hibah) akan bergantung kepada prestasi kewangan kami berdasarkan kepada keuntungan yang kami boleh jana bagi 2018. Tetapi, janganlah terlalu mengharap bagi 2018 kerana kami baru sahaja menyelesaikan urus niaga itu,” katanya pada taklimat media mengenai kemajuan pelan pemulihan TH di sini, hari ini.
Pada 2017, TH mengisytiharkan pembayaran hibah 4.50% dan bonus 1.75% kepada pendeposit.
Zukri berkata TH menerima pengesahan daripada peguamnya bahawa semua pindahan aset, yang juga termasuk syarikat perladangan tidak tersenarai dan 20 hartanah dan tanah, telah ditandatangani dan semua hak telah diserahkan haknya.
Menurutnya, tanah Tun Razak Exchange (TRX) telah dijual kepada kerajaan pada harga premium.
“Mengenai persoalan mengapa TH memindahkan sebahagian daripada asetnya kepada syarikat tujuan khas itu, jawapannya adalah jika kami tidak melakukan apa-apa, kami tidak boleh membayar hibah bagi tahun-tahun yang akan datang,” jelasnya.
Menurutnya, sejumlah 106 aset domestik tersenarai yang kurang menguntungkan kebanyakannya adalah daripada sektor perladangan, minyak dan gas, hartanah dan pembinaan, di mana TH tidak mempunyai pegangan kawalan.
Saham yang kurang berprestasi mencatatkan kerugian tidak direalisasi sebanyak 96.5% dengan 10 kaunter rugi utama menyumbang hampir RM4.6 bilion daripada kerugian tidak direalisasikan, katanya.
Bagi meningkatkan ketelusan pada masa depan, Zukri berkata TH akan menyediakan maklumat terkini setiap suku tahun mengenai prestasi kewangannya bermula suku pertama 2019.
Beliau berkata TH akan menilai dengan berhati-hati peruntukan asetnya untuk menjadi lebih berhemat dalam pelaburan dengan menumpukan kepada pendapatan tetap.
“Kami bukan pengurus dana, peranan kami adalah untuk mentadbir dana. Saya rasa fokus pelaburan perlu berubah. Kami sudah pastinya akan menilai dengan teliti peruntukan aset baharu ke atas pendapatan tetap dan bukannya ekuiti di mana kami akan mempunyai aliran pulangan yang mantap,” katanya.