
BATU CAVES: Adakah tindakan Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Kelantan berhubung isu tanah Orang Asli di negeri itu Isnin lepas merupakan tanda awal Peguam Negara, Tommy Thomas, berjinak dengan politik, soal PAS, hari ini.
Presiden Parti Islam Malaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersoalkan waktu yang dipilih oleh kerajaan pusat untuk memfailkan saman tersebut, sekali gus menyifatkannya sebagai satu agenda pilihan raya.
“Saya nak tanya, kenapa kerajaan pusat bawa isu ini semasa pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands?
“Benda (isu orang Asli di Kelantan) sudah lama. Adakah dia (Tommy) sama-sama nak kempen pilihan raya?” katanya pada satu sidang media di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini.
PRK Cameron Highlands ditetapkan pada 26 Jan ini dan melibatkan pertandingan 4 penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran, calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor serta 2 calon Bebas, Wong Seng Kee dan Sallehudin Ab Talib.
Hadir sama dalam sidang media sama ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan.
Semalam, negara dikejutkan dengan pengumuman Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS kerana didakwa menceroboh penempatan Orang Asli di negeri itu, dan merupakan langkah pertama kerajaan persekutuan melibatkan persoalan hak tanah kelompok pribumi.
Saman itu juga memohon injunksi menghalang syarikat swasta menceroboh tanah terbabit untuk menjalankan aktiviti komersial.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, beliau dimaklumkan tentang sekumpulan peguam yang menawarkan diri untuk membela kerajaan negeri dalam kes saman tersebut.
“Sehingga kini, saya dah difahamkan, sekumpulan peguam terkenal telah bergabung untuk bela kerajaan Kelantan. Mereka akan berkhidmat secara percuma untuk kes saman itu,” katanya.
Semalam, FMT melaporkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah, yang memberi respons terhadap saman tersebut berkata, tidak ada tanah di negeri itu yang dimiliki oleh masyarakat itu.
Katanya, tanah yang menjadi milik Orang Asli adalah tanah yang diberi oleh kerajaan negeri.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man turut mempersoalkan mengapa Putrajaya tidak merujuk kepada penasihat undang-undang negeri itu.
“Setiap kerajaan negeri ada peguam yang boleh dirujuk oleh kerajaan pusat, kenapa tak rujuk dahulu?” soalnya.
Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri, pengarah perhutanan negeri dan 5 entiti swasta.
Media melaporkan, sebutan kes tersebut akan diadakan pada 22 Jan ini dan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Farid Wan Salleh.
Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan Persekutuan menamakan Fleet Precision Sdn Bhd, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, kerajaan Negeri Kelantan, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Berhad, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Berhad sebagai defendan pertama hingga kelapan.
Peguam Negara, Tommy Thomas dalam kenyataan semalam berkata, kerajaan Persekutuan mengambil tindakan mahkamah bagi pihak Orang Asli dalam memberikan pengiktirafan tanggungjawab perlembagaan dan perundangan untuk melindungi, serta menggalakkan kesejahteraan dan kemajuan mereka.
Katanya, kerajaan Kelantan dan agensinya yang baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta untuk dijadikan ladang durian dan pokok getah telah tidak berunding dengan Orang Asli tempatan sebelum meluluskan lesen tersebut atau menawarkan apa-apa pampasan atas penafian hak tanah adat dan sumber keperluan Orang Asli.