Anda kata Orang Asli tak bijak, Najib bidas Chin Tong

Anda kata Orang Asli tak bijak, Najib bidas Chin Tong

Bekas perdana menteri berkata Liew Chin Tong merendah-rendahkan Orang Asli apabila berkata masyarakat itu tidak tahu negara kini ditadbir PH.

Najib Razak melambai kepada FMT dalam perjalanan selepas program Jom Ride Bersama #Bossku.
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Najib Razak membidas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong kerana mendakwa Orang Asli di Jelai, Pahang diperdaya Barisan Nasional, yang didakwa memberi gambaran mereka masih mentadbir Putrajaya.

Bekas perdana menteri berkata Liew merendah-rendahkan Orang Asli, seolah-olah masyarakat itu tidak tahu negara kini ditadbir Pakatan Harapan dan dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ada pemimpin DAP kata Orang Asli fikir saya masih lagi perdana menteri,” kata Najib, merujuk kepada parti Liew.

“Jika DAP kata Orang Asli fikir, melihat dan percaya saya masih perdana menteri ia merendahkan akal pemikiran Orang Asli sebenarnya. Orang Asli lebih cerdik daripada itu,” katanya di program “Jom Ride Bersama #Bossku” di Damansara hari ini.

Liew di satu ceramah di Kampung Raja semalam sempena pilihan raya kecil Cameron Highlands menuduh pemimpin BN perdaya Orang Asli di kampung-kampung di DUN Jelai dengan memberi gambaran seolah mereka masih berkuasa dan Najib masih perdana menteri.

Beliau dilapor berkata ramai masih tidak pasti kerajaan sudah berubah dan Najib pula berkelakuan seperti perdana menteri ketika melawat kawasan itu.

Katanya lagi, beberapa kampung Orang Asli masih tidak ada kemudahan komunikasi secukupnya walaupun selepas 60 tahun BN memerintah.

Najib Razak menandatangani topi keledar seorang peminat di program Jom Ride Bersama #Bossku.

Najib bagaimanapun berkata Orang Asli di Jelai masih menyokong BN kerana mengenang jasa gabungan itu kepada mereka.

“Orang Asli lebih faham dan sedar. Orang Asli sayang kepada saya,” katanya.

Bekas perdana menteri juga menafikan dia mempunyai tentera siber untuk mengkritik pemimpin kerajaan, dan percaya trend terhadap PH sekarang ini adalah organik.

“Komen-komen itu datang dari rakyat tanpa diberi elaun untuk jadi pengulas atau pembela kita dalam talian. Itu isi hati, pendapat dan fikiran rakyat,” katanya.

“Katalah, Khalid Samad lakukan serangan terhadap saya, yang bela saya pula adalah rakyat sendiri,” tambahnya, menjadikan menteri Wilayah Persekutuan sebagai contoh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.