Tidak perlu beritahu Singapura, Putrajaya tentang lawatan saya, kata MB Johor

Tidak perlu beritahu Singapura, Putrajaya tentang lawatan saya, kata MB Johor

Dr Mahathir mengakui walaupun Osman melawat kapal MV Pedoman tanpa kebenaran Putrajaya, namun beliau lebih terperanjat akan reaksi terhadap tindakan tersebut.

Menteri Besar Johor, Osman Sapian berkata, sebagai ketua kerajaan beliau berhak melawat mana-mana bahagian negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, beliau berhak untuk tidak memaklumkan kepada Putrajaya atau Singapura tentang lawatannya ke sebuah kapal Malaysia, sehari selepas perdana menteri mempertahankan lawatan beliau yang mengundang bantahan republik itu.

Menurut laporan Harian Metro, Osman berkata, beliau tidak perlu memaklumkan lawatannya itu kepada Singapura kerana beliau merupakan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Johor.

Osman juga berkata, sebagai ketua kerajaan negeri, beliau berhak untuk melawat mana-mana bahagian negeri itu.

“Saya sebagai ketua kerajaan negeri… itu perairan Johor. Walaupun tertakluk kepada kerajaan persekutuan, tetapi saya berhak untuk tidak memaklumkan kepada mereka bahawa ini adalah kawasan saya.

“Katakanlah saya ingin melawat daerah di Johor ini, adakah saya perlu memaklumkannya kepada Kementerian Dalam Negeri?,” kata Osman seperti dilaporkan akhbar berbahasa Melayu itu.

Dr Mahathir semalam mempertahankan Osman yang didakwa memasuki perairan Singapura pada 9 Januari lepas, dengan berkata, kapal tersebut berada di perairan “neutral”.

Katanya, walaupun Osman melawat kapal pengawasan Malaysia di luar pelabuhan Johor itu tanpa kebenaran Putrajaya, namun beliau lebih terperanjat akan reaksi terhadap tindakan tersebut.

Osman juga berkata, kapal tersebut, MV Pedoman, telah berada di kawasan itu lebih sebulan.

“Jika itu menjadi suatu kesalahan mengapa Singapura tidak mengambil tindakan?”, katanya seperti dilaporkan Harian Metro, dengan menambah bahawa beliau tidak menceroboh perairan Singapura.

Singapura menegaskan Osman menceroboh perairannya, sekali gus mengemukakan bantahan republik itu melalui nota diplomatik kepada Wisma Putra.

Ia juga berkata, kapal itu “berlabuh secara salah” di perairan di luar Tuas, dengan menambah atas sebab itu Singapura membatalkan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan pada 14 Januari lepas.

Osman menafikan beliau menceroboh perairan Singapura dengan berkata, lawatannya di kapal berkenaan bertujuan meninjau kerja-kerja pasukan keselamatan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.