Pahang timbang rampas semula tanah, kata Wan Rosdy

Pahang timbang rampas semula tanah, kata Wan Rosdy

Jumlah cukai hasil tanah yang tertunggak di Pahang pada tahun lepas mencecah RM81 juta.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan merampas semula tanah tidak dikenakan ke atas mereka yang terbukti tidak mampu membayar cukai. (Gambar Bernama)
CAMERON HIGHLANDS:
Pemilik tanah di negeri Pahang diingatkan agar segera membayar cukai hasil tanah memandangkan kerajaan negeri sedang mempertimbang untuk merampas semula tanah daripada pemilik yang sengaja tidak membayar cukai itu dalam tempoh 5 tahun berturut-turut.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini berikutan jumlah cukai hasil tanah yang tertunggak di negeri ini pada tahun lepas mencecah RM81 juta.

“Itu satu jumlah yang banyak. Kerajaan negeri setakat ini tidak berhasrat untuk merampas balik (tanah), tetapi ‘sifir-sifir’ hendak rampas balik itu ada.

“Contohnya tanah yang luas selama 5 tahun berturut-turut tidak dibayar (cukai), dan tanah kita tengok ada hasil seperti durian Musang King dan kelapa sawit, itu mungkin kita rampas sebab dia sengaja tidak bayar (cukai),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Puncak Arabella di sini, hari ini.

Bagaimanapun Wan Rosdy berkata, tindakan merampas semula tanah tidak akan dikenakan ke atas mereka yang terbukti tidak mampu untuk membayar cukai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.