
Bekas ketua menteri itu berkata pembekuan berkenaan akan menyebabkan kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kehilangan hasil kira-kira RM70 juta, namun katanya jumlah itu masih mampu ditanggung kedua-dua pihak.
Lim (PH-Air Putih) berkata kerajaan negeri dijangka memperoleh tambahan RM50 juta hasil semakan cukai tanah, manakala PBAPP pula dijangka menerima kira-kira RM20 juta hasil kenaikan purata tarif air sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu mulai 1 Julai.
“RM50 juta dan RM20 juta itu masing-masing boleh ditanggung oleh kerajaan negeri dan PBAPP,” katanya membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan DUN Pulau Pinang.
Beliau berkata kesan kenaikan itu terhadap rakyat biasa dan peniaga jauh lebih besar berbanding hasil tambahan yang bakal diperoleh kerajaan negeri dan PBAPP.
Lim berkata pembekuan itu wajar dilaksanakan selama setahun, atau sehingga krisis ekonomi global reda.
Katanya, konflik di Asia Barat telah menyebabkan harga minyak meningkat, rantaian bekalan terganggu, serta kos bahan mentah dan logistik bertambah.
Lim berkata sekiranya kerajaan negeri atau PBAPP benar-benar memerlukan dana berkenaan, mereka boleh mendapatkan pembiayaan daripada kerajaan persekutuan dan bukannya memindahkan beban kos itu kepada rakyat.
Pada Mei tahun lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri berdepan masalah aliran tunai dan kemungkinan defisit sehingga RM500 juta, menyebabkan negeri itu memohon pendahuluan RM100 juta daripada Putrajaya sebagai penampan kewangan.
Bentang dahulu perjanjian air Perak di DUN
Lim turut berkata sebarang perjanjian pembelian air terawat dari Perak perlu dibentangkan di DUN sebelum ditandatangani.
Katanya, cadangan perjanjian membabitkan sehingga 500 juta liter air terawat itu akhirnya boleh menyebabkan tarif PBAPP meningkat kepada RM3 bagi setiap meter padu atau lebih — hampir lima kali ganda daripada purata tarif semasa 62 sen.
Beliau berkata pada kadar 62 sen bagi setiap meter padu, penggunaan 20,000 liter air berharga kira-kira RM12.40. Namun, jumlah penggunaan yang sama akan meningkat kepada RM60, sebelum caj lain dikenakan, sekiranya tarif dinaikkan kepada RM3 bagi setiap meter padu.
Lim berkata tarif lebih tinggi itu akan berkuat kuasa apabila bekalan air terawat mula diterima dalam tempoh kira-kira 10 tahun, dengan projek berkenaan dijangka bermula pada 2031.
Katanya, perjanjian itu tidak sepatutnya diputuskan hanya oleh ahli lembaga pengarah PBAPP atau PBA Holdings Bhd kerana ia melibatkan bekalan air awam dan memberi kesan kepada semua 1.8 juta penduduk Pulau Pinang.
Beliau berkata orang ramai juga mesti diberi jaminan bahawa perjanjian itu benar-benar memberikan tawaran terbaik untuk Pulau Pinang.