
Ramli berkata ketegangan berpanjangan di beberapa wilayah strategik dunia termasuk Asia Barat telah mencetuskan kesan rantaian terhadap kestabilan pasaran global, khususnya dalam sektor tenaga dan rantaian bekalan.
“Dalam menghadapi realiti mencabar ini, Pulau Pinang tidak boleh sekadar menjadi pemerhati,” katanya ketika berucap pada Istiadat Perasmian Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15.
“Negeri ini perlu terus mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh keupayaan dalaman dan daya tahan dengan memberi penekanan kepada kecekapan tenaga, meningkatkan keselamatan makanan, serta memastikan pengurusan fiskal yang berdisiplin dan berwawasan.”
Beliau memuji dasar ‘tegas’ Anwar Ibrahim yang menurutnya membantu asas ekonomi Malaysia kekal kukuh sepanjang konflik tersebut.
Beliau turut merujuk unjuran dan data rasmi Jabatan Perangkaan yang menyatakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini dianggarkan antara 4% hingga 5%, manakala kadar inflasi dijangka kekal sederhana dan berada di bawah purata jangka panjang 1.5% hingga 2.5%.
“Saya yakin kerajaan persekutuan akan terus memantau perkembangan ini dengan bijak dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara, bekalan asas terjamin, dan pertumbuhan ekonomi negara dikekalkan.”
Ramli turut menggesa Adun supaya menyampaikan maklumat dengan tepat dan berhati-hati serta mengemukakan idea yang membina.
Beliau berkata kenyataan bersifat spekulatif tanpa fakta hanya akan menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu, terutama dalam keadaan ketidaktentuan global.
“Sebarang kenyataan yang tidak wajar boleh membawa kesan negatif,” katanya.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang akan berlangsung dari 11 hingga 15 Mei.