
Bekas perdana menteri itu terbaca berita bahawa gambar yang diserah sebagai bukti kepada Mahkamah Tinggi di Shah Alam dipastikan palsu.
“Saya pelik mengapa ramai lagi tidak tahu bahawa pemimpin PKR Tian Chua sudah lama mengaku gambar yang disebar di media sosial selama bertahun-tahun ini ialah bahan edit,” katanya di Facebook.
Tian Chua, katanya, tidak pernah berkata gambar itu gambar sahih dalam blog beliau dan tidak bertanggungjawab terhadap penyebaran gambar tersebut dan andaian yang dibuat oleh mana-mana pihak mengenainya.
Najib berkata, sebagai satu lagi bukti bagaimana berkesannya pengaruh daripada propaganda palsu ialah sehingga hari ini, selepas lebih dari 10 tahun, ramai masih mempercayai bahan letupan yang digunakan dalam kes itu ialah bahan letupan canggih C4.
“Kebenarannya ialah pihak penyiasat forensik sudah lama memberitahu bahawa bahan yang ditemui di tempat kejadian bukan C4 tetapi adalah bahan letupan PETN dan RDX yang juga boleh didapati di setengah tapak pembinaan dan di kuari batu.
“Nampaknya, tuduhan dan propaganda palsu lebih senang disebar secara meluas di Malaysia berbanding penjelasan dan kebenaran.”
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu gambar 2 lelaki bersama Altantuya Shaariibuu yang dipamerkan di mahkamah adalah palsu.
Sepupu wanita Mongolia itu, Burmaa Oyunchimeg berkata, satu gambar diambil di Paris pada 2005 dan ditunjukkan kepadanya oleh Altantuya adalah berbeza walaupun orang yang sama berada dalam gambar itu.