
Badan pemikir menyifatkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) sebagai rancangan yang bagus, tetapi perlu ada iltizam politik untuk menjayakannya.
Ideas berkata reformasi itu mungkin sukar dilakukan jika Pakatan Harapan tidak menang pilihan raya umum.
Eksekutif Kanan Aira Azhari dalam kenyataan berkata NACP yang dilancarkan perdana menteri semalam mengemukakan strategi yang jujur, keras dan memandang ke depan dalam memerangi rasuah dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Dr Mahathir dalam ucapannya berkata campurtangan politik dalam pentabiran kerajaan dan kewangan antara punca utama rasuah berleluasa dan perkara itu ditonjolkan sebagai risiko pertama dalam NACP.
Satu lagi perkara yang ditonjolkan NACP adalah sektor perolehan paling terdedah kepada rasuah.
Aira berkata: “Mengakui campurtangan politik dalam proses kerajaan antara sebab utama rasuah memerlukan kematangan di pihak kerajaan Pakatan Harapan.”
Beliau berkata muhasabah dan kesanggupan untuk melaksanakan reformasi tidak mungkin berlaku jika kerajaan tidak berubah pada 9 Mei lepas.
“Pendedahan mengatakan perolehan adalah sektor utama yang terdedah kepada rasuah mendorong kepada perbahasan mengenai keperluan mengkaji semula amalan naungan, kronisme dan percanggahan kepentingan dalam projek-projek kerajaan.”
Aira berkata pengenalan undang-undang baru sangat dialu-alukan, tetapi keperluan lebih mendesak adalah meningkatkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan mengurangkan campurtangan politik dalam membuat keputusan kerajaan.
“Paling penting adalah dasar-dasar menahan campurtangan politik dalam pelantikan pengurusan kanan di syarikat berkaitan kerajaan, reformasi perkhidmatan awam dan Parlimen, serta sistem kehakiman dan perundangan.”
Beliau berkata pengalaman Malaysia sepanjang 60 tahun lalu membuktikan saranan atas kertas tidak membawa hasil tanpa anjakan budaya politik.
Satu lagi komponen penting dalam memerangi rasuah adalah mendidik masyarakat tentang peranan wakil-wakil rakyat.
“Penggunaan wang untuk membeli undi diburukkan lagi oleh pengundi yang mahukan ganjaran sebagai balasan kepada sokongan politik.
“Amalan itu mesti dikawal menerusi satu program pendidikan berterusan, yang dikupas NACP dengan baik. Ini satu petanda yang positif dan diharapkan ada iltizam politik yang kuat untuk melaksanakan rancangan itu.”