Isa Samad gagal dapatkan pasport untuk umrah

Isa Samad gagal dapatkan pasport untuk umrah

Mahkamah melihat tiada kepentingan bagi Isa Samad untuk menunaikan umrah.

Isa Samad mahu menunaikan umrah untuk mencari ketenangan hati selepas dikenakan dakwaan jenayah ke atasnya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen hari ini menolak permohonan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad untuk mendapatkan semula pasportnya bagi menunaikan umrah.

Hakim Azura Alwi menolak permohonan Isa yang berdepan tuduhan rasuah dan pecah amanah untuk mendapatkan pasportnya buat sementara dari 11 Feb hingga 22 Feb ini.

“Walaupun tidak ada risiko melarikan diri, mahkamah melihat tiada kepentingan baginya untuk menunaikan umrah,” katanya.

Terdahulu, peguam Isa, Datuk K Kumaraendran memberitahu mahkamah anak guamnya tiada risiko melarikan diri kerana dia memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan.

“Dia ke luar negara beberapa kali ketika dia sedang disiasat dan memaklumkan kepada pegawai SPRM ke mana dia pergi.

“Selain itu, tiada larangan perjalanan dikenakan ke atasnya,” kata Kumaraendran.

Kumaraendran berkata Isa mahu melaksanakan ibarat umrahnya untuk mencari ketenangan hati selepas dikenakan dakwaan jenayah ke atasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin Jaafar membantah permohonan pasport itu dan mempersoalkan sama ada terdapat keperluan umrah lagi.

“Dia pergi umrah 2 kali tahun lepas, dan juga makan angin 4 kali ke negara yang berbeza.

“Sebagai tertuduh, Isa mempunyai tugas untuk menghadiri mahkamah sebaik sahaja diarahkan,” katanya.

Pada 25 Jan, Isa mengemukakan permohonan bagi mendapatkan semula pasportnya untuk menunaikan umrah semasa sebutan semula kes pecah amanah dan rasuah yang dihadapinya didengar di Mahkamah Sesyen.

Pada 14 Dis 2018, Isa mengaku tidak bersalah atas 1 pertuduhan pecah amanah dan 9 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak, oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.